ALOR STAR 30 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, inisiatif untuk membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memerlukan pelaburan sebanyak RM177 bilion mulai hari ini hingga tahun 2025.
Beliau berkata, sebanyak satu pertiga daripada jumlah pelaburan itu dianggarkan datang daripada kerajaan, manakala dua pertiga daripada pelaburan swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Pihak kerajaan akan memulakan pelaburan tersebut bagi menyediakan persekitaran sosioekonomi yang sebaik mungkin, yang dijangka akan disambut oleh pihak swasta, seterusnya dengan pelaburan-pelaburan komersial,” katanya semasa melancarkan Rangka Tindakan NCER di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Rangka tindakan itu adalah untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan tahap pendapatan di Koridor Utara yang mempunyai kira-kira 4.29 juta orang dalam tempoh lebih 20 tahun.
Program pembangunan Koridor Utara itu dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai kawasan untuk melahirkan pembangunan ekonomi negara secara seimbang dan sama rata.
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah ialah antara yang hadir.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ialah antara yang turut hadir.
Keempat-empat negeri itu terangkum dalam Koridor Utara.
Juga hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, dalam ucapannya berkata, untuk fasa permulaan, program-program yang dikenal pasti akan melibatkan pertambahan sebanyak RM5 bilion oleh kerajaan di atas peruntukan yang sedia ada.
“Kerajaan bercadang untuk menyediakan pelaburan ini melalui kajian semula program-program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), serta penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9 nanti,” katanya.
Abdullah berkata, fokus seterusnya adalah untuk melaksanakan apa yang telah dirancang menerusi penubuhan sebuah badan pelaksana dan penyelarasan yang mempunyai wakil kerajaan pusat serta kerajaan-kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan badan itu bersama-sama dengan Menteri-menteri Besar Kedah, Perlis dan Perak serta Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya, konsep koridor utara itu adalah berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama.
Perdana Menteri berkata: “Setiap negeri mempunyai kekuatannya tersendiri. Jika digabung, kekuatan ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat kepada semua rakyat utara berbanding bekerja secara bersendirian.”
Abdullah berkata, inisiatif Koridor Utara itu terdiri daripada program dan pendekatan yang bertujuan untuk merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan itu bagi kesejahteraan rakyat tempatan.
Sementara itu, pembangunan yang dijalankan adalah berteraskan arus pasaran dan perdagangan, supaya kawasan utara tidak ketinggalan dalam era globalisasi, katanya.
Abdullah berkata, matlamat pembangunan ini “mengharuskan perubahan minda mengenai potensi negeri-negeri dan daerah-daerah utara” dan inisiatif Koridor Utara itu berbeza daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor kerana ia meliputi kawasan yang lebih luas, serta mempunyai ciri-ciri penduduk yang berbeza.
“Peluangnya berbeza, dan cabaran-cabarannya juga berbeza. Contohnya, statistik terkini menunjukkan kadar kemiskinan di Kedah dan Perlis lebih tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara,” katanya.
Abdullah berkata, Wilayah Utara juga mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih rendah daripada pendapatan purata negara, dan dengan itu, sasaran Koridor Utara harus menjurus kepada transformasi sosioekonomi masyarakat berbanding dengan Wilayah Pembangunan Iskandar yang berteraskan pertumbuhan bandar.
Namun begitu, falsafah asasnya adalah sama iaitu untuk menambah nilai kepada sektor-sektor di luar bandar, industri-industri bandar dan kepada modal insan, katanya.
“Budaya tambah nilai ini adalah penentu masa hadapan Koridor Utara iaitu kunci kejayaan yang perlu kita kejar dan terapkan dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau menambah, falsafah tambah nilai ini amat penting untuk menutup jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, selain itu, ekonomi luar bandar harus dilonjakkan ke tahap yang moden, mampan dan menguntungkan di mana sektor pertanian luar bandar terutamanya, harus ditransformasi kepada “pertanian baru”.
Peluang-peluang harus dibuka untuk sektor swasta melabur di dalam ekonomi luar bandar supaya teknik-teknik moden dan pengetahuan pasaran dapat disebarkan kepada para pengusaha desa, katanya.
Perdana Menteri berkata, selain itu, pelaburan sektor swasta juga akan memastikan bahawa projek-projek dijalankan pada skala yang komersial dan bagi membuka peluang-peluang ini, beberapa program khas akan dijalankan.
Abdullah berkata, satu daripada program utamanya ialah untuk menggalakkan penggabungan tanah supaya penanaman, pemeliharaan dan penuaian tanaman dapat dijalankan secara moden dan komersial.
Aspek-aspek pengurusan ini akan diterajui oleh syarikat swasta tanpa menggugat kedudukan hak milik tanah, di mana pemilik tanah akan berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih tinggi hasil daripada pulangan pertanian yang berskala besar, moden dan mengikut pasaran, katanya.
Malah, para pemilik tanah dan petani juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah baru, umpamanya dengan menjadi petani kontrak kepada syarikat swasta tersebut.
Beliau berkata, pertanian berskala besar dan komersial akan membolehkan pengembangan sektor hiliran pertanian serta pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS) asas tani.
Abdullah berkata, selain itu, aktiviti mengumpul, memproses dan menjenama produk-produk pertanian akan digalakkan untuk meningkatkan nilai tambah kepada sektor pertanian.
Sebagai contoh, pengurusan tanah padi secara estet akan membolehkan pengembangan industri-industri hiliran padi seperti pembuatan produk makanan, minuman, kosmetik serta farmaseutikal, malah hasil pengeluaran padi, termasuk bahan buangan serat padi, mampu dijadikan produk yang bernilai, katanya.
Beliau berkata, langkah-langkah ini juga akan disokong oleh program-program untuk meningkatkan tahap inovasi dan kemahiran dalam bidang pertanian di mana pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Fakulti Pertanian akan ditubuhkan bersama dengan sektor swasta untuk memantapkan sektor-sektor pertanian yang khusus kepada Koridor Utara.
Perdana Menteri berharap program itu dapat melahirkan generasi profesional tani baru bagi Koridor Utara di mana penglibatan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam pertanian dan perniagaan adalah amat penting bagi masa hadapan ekonomi luar bandar.
“Saya ingin melihat generasi baru luar bandar yang tidak perlu berhijrah ke bandar untuk peluang pekerjaan, yang mampu berbudi kepada bumi dengan cara-cara yang moden dan berteknologi.
“Ini merupakan satu perubahan arus yang akan menukar wajah dan rupa kawasan desa,” katanya. - Bernama
Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
►
2008
(1)
- ► 11/23 - 11/30 (1)
-
▼
2007
(50)
- ► 11/25 - 12/02 (1)
- ► 09/02 - 09/09 (5)
- ► 08/26 - 09/02 (2)
- ► 08/19 - 08/26 (3)
- ► 08/12 - 08/19 (6)
- ► 08/05 - 08/12 (2)
- ▼ 07/29 - 08/05 (3)
- ► 07/22 - 07/29 (3)
- ► 07/15 - 07/22 (5)
- ► 07/08 - 07/15 (4)
- ► 06/24 - 07/01 (3)
- ► 06/17 - 06/24 (4)
- ► 05/06 - 05/13 (1)
- ► 02/25 - 03/04 (1)
- ► 02/18 - 02/25 (1)
- ► 01/14 - 01/21 (2)
- ► 01/07 - 01/14 (4)
-
►
2006
(7)
- ► 12/31 - 01/07 (5)
- ► 12/24 - 12/31 (2)
No comments:
Post a Comment