Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Monday, July 30, 2007

Tingkatkan Perpustakaan

(Sumber : Utusan Online)

Perpustakaan atau kutub- khanah adalah citra korpus ilmu dan lambang intelektual sesebuah bangsa, agama dan negara yang bertamadun. Institusi ini telah lama wujud sejak ribuan tahun dulu di mana sejarah kegemilangan tamadun agung Mesir, Rom, Parsi, China, India dan sebagainya adalah seiring dengan kewibawaan serta keagungan perpustakaan.
Perpustakaan terbesar dunia The Library of Congress di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki jutaan koleksi keilmuan adalah inspirasi dan aspirasi sebenar dinamis perpustakaan dunia. Perpustakaan dikatakan wujud semasa berkembangnya kebudayaan dan keilmuan Sumeria, Babylon dan Assyria yang terletak di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3000 hingga 650 Sebelum Masihi.
Perpustakaan Alexandria atau Iskandariyah yang dibina pada awal abad ke-3 Sebelum Masihi pada masa pemerintahan Ptolemeus II umpamanya pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia, menyimpan kira-kira 400,000 sehingga 700,000 naskhah gulungan papirus dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk geometri, kedoktoran, astronomi, bahasa dan sebagainya.
Dr. Mustafa As-Siba‘i telah menukilkan bahawa Muhammad Bin Abdul Malik Az- Zayyad memberi 2,000 dinar setiap bulan kepada penterjemah dan penyalin buku sebagai ganjaran di atas usaha gigih mereka.
Khalifah Al-Makmun pula selalu memberi hadiah emas kepada Hunain Bin Ishaq seberat buku-buku yang telah diterjemahkan beliau ke dalam bahasa Arab.
Ini adalah contoh unggul betapa pemerintah silam begitu mengambil berat dan telah melaksanakan inisiatif penting meneruskan sejarah kegemilangan buku dan perpustakaan.
Sejarah keagungan Islam merekodkan kegemilangan tradisi intelektual Islam dengan terbinanya perpustakaan yang berkaliber seperti Perpustakaan Khalifah Dinasti Fatimiyah dan Darul Hikmah di Mesir, Perpustakaan Baitul Hakam di Baghdad, Perpustakaan Al-Hakam di Andalus, PerPustakaan Bani Ammar di Tripoli, Perpustakaan Al-Fath Bin Khaqan dan banyak lagi yang menjadi rujukan peminat serta pencinta buku dan pelajar dari seluruh dunia.
Di sini mereka menjalankan aktiviti diskusi, mentelaah, menyalin buku dengan bebas tanpa sebarang sekatan, bahkan diberi galakan dan insentif dari pihak pemerintah ketika itu.
Turut dilaporkan juga lahirnya begitu ramai genre penyalin dan penterjemah buku- buku yang bermutu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu diperoleh melalui pembelian, pemindahan, pertukaran oleh pihak pemerintah dan termasuk proses penaklukan ke atas Ankara, Armenia, Cyprus dan sebagainya. Proses pemindahan ini telah mengubah landskap transformasi penterjemahan, penyalinan dan perkembangan dunia buku serta korpus ilmu dunia Arab.
Kewujudan perpustakaan menimbulkan integrasi minat membaca di kalangan masyarakat dan berlakunya proses menginstitusikan budaya membaca dalam sistem pemerintahan negara.
Menyelami perkembangan perpustakaan sebagai institusi kecemerlangan umat, maka kita perlu memperkasa dan mempertingkatkan lagi fungsi perpustakaan sewajarnya di negara kita.
Perpustakaan adalah khazanah dan aset negara yang amat berharga serta perlu diberikan pembelaan sepenuhnya. Di samping kewujudan Perpustakaan Negara Malaysia, kita memiliki perpustakaan awam hampir di setiap negeri termasuklah perpustakaan daerah, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.
Namun begitu, kebergantungan kepada institusi ini tidak cukup dan ini menuntut semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta perlu mewujudkan perpustakaan di premis masing-masing.
Sebagai contoh mahkamah di seluruh Malaysia perlu mewujudkan perpustakaan di kompleks mahkamah agar sesiapa yang berminat boleh membuat rujukan berkenaan undang-undang secara langsung tanpa perlu pergi ke perpustakaan awam dan universiti.
Walaupun perpustakaan yang ada kini hanyalah bersifat koleksi peribadi para hakim dan majistret sahaja, tidak dibuka kepada umum, maka langkah menyediakan kemudahan perpustakaan memudahkan orang ramai, pelajar, pesalah, tertuduh dan sesiapa sahaja membuat rujukan dan carian akademik serta maklumat berkaitan undang-undang. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat celik undang-undang.
Hospital serta klinik kerajaan dan swasta juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada orang ramai, pelajar dan pesakit agar mereka boleh mendapatkan akses maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan bidang perubatan dan kesihatan, di samping dapat mengisi masa lapang ketika mereka berada di hospital dan klinik.
Melalui kemudahan perpustakaan ini diharapkan dapat membantu usaha kerajaan membimbing dan membentuk masyarakat yang sihat dan bermaklumat.
Pusat dan agensi peranginan, hotel, pusat rekreasi dan percutian juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada pelanggan mereka di samping bercuti, mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan di mana sahaja mereka berada serta pada bila-bila masa.
Di samping itu kompleks beli-belah, pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour, Makro dan sebagainya juga digalakkan menyediakan kemudahan yang sama walaupun terdapat banyak kedai buku besar yang menyediakan kemudahan membaca dan merujuk buku secara percuma.
Pejabat-pejabat kerajaan, syarikat korporat, lapangan terbang, hendaklah menjadi contoh dan model penting menjadikan perpustakaan sebagai prasarana utama dalam proses pentadbiran dan pengurusan mereka. Dengan adanya perpustakaan, kemudahan menyimpan pelbagai koleksi maklumat dan menyediakan perkhidmatan dapat dilakukan seperti buku, majalah, jurnal dan sebagainya.
Gudang maklumat ini juga dapat menghimpun sumber bercetak, tidak bercetak dan elektronik untuk kegunaan syarikat dan rujukan orang ramai yang berminat terutamanya pelajar dan penyelidik.
Masjid dan surau juga wajar menyediakan kemudahan perpustakaan untuk kemudahan ahli jemaah dan kariah setempat. Tradisi Islam membuktikan perpustakaan telah memainkan peranan yang cukup penting dan merupakan pusat maklumat dan ilmu pengetahuan yang cukup berkesan.
Buku, jurnal, majalah dan bahan ilmu lain tidak semestinya bersifat keagamaan semata-mata tetapi perlu dipelbagai merangkumi ekonomi, teknologi, pendidikan, sosial, sains dan sebagainya.
Perpustakaan mencerminkan keadaan tahap sosioekonomi, sosial dan budaya serta taraf pendidikan negara dan masyarakat di Malaysia secara langsung.
Negara dan masyarakat yang bertamadun dan memiliki budaya menghargai ilmu pengetahuan perlu menterjemahkannya kepada pembangunan perpustakaan dan sebagai permulaan, maka setiap dari kalangan kita perlu memiliki sekurang-kurang perpustakaan peribadi di rumah dan bilik pejabat masing-masing.
* MOHAMAD Sofee Razak ialah seorang peguam.

Fakta Penyeludupan Pendatang Tanpa Izin (PATI)

KAEDAH PENYELUDUPAN:* PATI dari Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Vietnam, Ghana dan China mempunyai rangkaian sindiket di Thailand dan Malaysia.
* Pendatang diserahkan di sempadan Myanmar-Thailand kepada ejen sindiket di negara itu sebelum berkumpul di Haadyai. Mereka kemudian dibawa ke sempadan Thailand-Malaysia, misalnya pekan Golok jika mahu melalui Kelantan.
* Di Kelantan, biasanya PATI dibawa menyeberangi Sungai Golok dalam kumpulan kecil dan ditempatkan di rumah sementara menunggu masa yang sesuai untuk bergerak.
* Di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, penyeludup PATI menggabui mata pihak berkuasa dengan mengenakan pakaian seragam anggota keselamatan dan memandu menerusi laluan hijau yang tidak diperiksa dengan ketat.
* Di negeri Utara, PATI masuk menerusi pintu ICQ dengan menggunakan motosikal yang ditunggang sendiri.
* Penyeludup membina ruang khas dalam kenderaan mereka terutama di bahagian belakang kereta untuk menyembunyikan PATI.
* Sama ada di Timur atau Utara, PATI menipu dengan mendakwa ingin membeli-belah di kompleks atau zon bebas cukai dalam wilayah Malaysia yang selalunya mendapat kelonggaran pihak berkuasa. Agensi penguatkuasaan tidak menjalankan pemeriksaan jika rakyat asing memberi alasan ingin ke kompleks atau zon itu.
* Dari zon bebas cukai, PATI berjumpa dengan ejen atau individu yang akan menyeludup mereka keluar dan seterusnya dihantar ke negeri pilihan.
LALUAN:
Sempadan Perlis-Thailand:* Ladang tebu Chuping, sepanjang pesisir pantai di Kuala Perlis dan kawasan hutan di Wang Kelian.
* Pintu-pintu masuk utama di sempadan iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.
* Sempadan Kelantan-Thailand:
* Sempadan antara Rantau Panjang hingga ke Tanah Merah.
* Pintu ICQ Bukit Kayu Hitam dan Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.
* Sungai Golok dan pekan Golok.
HABUAN:
* Tekong darat atau sungai mendapat antara RM300 dan RM500 bagi menyeludup masuk setiap PATI.
* Setiap ejen di Myanmar, Thailand dan Malaysia mendapat sehingga RM1,000 bagi setiap PATI yang diuruskan sehingga berjaya memasuki negara ini.
* Wakil ejen yang mengangkut PATI mendapat sehingga RM1,000 bagi setiap PATI yang dihantar dari sempadan ke Lembah Klang atau negeri-negeri lain.
STATISTIK TANGKAPAN
* Kelantan – Hampir 300 PATI ditangkap di sempadan dalam tempoh enam bulan pertama ini.
* Kedah – Lima lelaki iaitu tiga warga Thailand dan dua rakyat tempatan ditangkap di ICQ Bukit Kayu Hitam sejak November 2006 sehingga Mei lalu kerana cuba menyeludup PATI ke negara ini. Dalam tempoh sama, 10 PATI ditahan.
* Perlis – Sepanjang tahun lalu sehingga Julai tahun ini, 16 tekong darat rakyat tempatan diberkas di Perlis. Seramai 523 PATI yang ditahan dalam tempoh itu.

Pelaburan RM177b diperlukan untuk bangunkan NCER

ALOR STAR 30 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, inisiatif untuk membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memerlukan pelaburan sebanyak RM177 bilion mulai hari ini hingga tahun 2025.
Beliau berkata, sebanyak satu pertiga daripada jumlah pelaburan itu dianggarkan datang daripada kerajaan, manakala dua pertiga daripada pelaburan swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Pihak kerajaan akan memulakan pelaburan tersebut bagi menyediakan persekitaran sosioekonomi yang sebaik mungkin, yang dijangka akan disambut oleh pihak swasta, seterusnya dengan pelaburan-pelaburan komersial,” katanya semasa melancarkan Rangka Tindakan NCER di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Rangka tindakan itu adalah untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan tahap pendapatan di Koridor Utara yang mempunyai kira-kira 4.29 juta orang dalam tempoh lebih 20 tahun.
Program pembangunan Koridor Utara itu dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai kawasan untuk melahirkan pembangunan ekonomi negara secara seimbang dan sama rata.
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah ialah antara yang hadir.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ialah antara yang turut hadir.
Keempat-empat negeri itu terangkum dalam Koridor Utara.
Juga hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, dalam ucapannya berkata, untuk fasa permulaan, program-program yang dikenal pasti akan melibatkan pertambahan sebanyak RM5 bilion oleh kerajaan di atas peruntukan yang sedia ada.
“Kerajaan bercadang untuk menyediakan pelaburan ini melalui kajian semula program-program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), serta penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9 nanti,” katanya.
Abdullah berkata, fokus seterusnya adalah untuk melaksanakan apa yang telah dirancang menerusi penubuhan sebuah badan pelaksana dan penyelarasan yang mempunyai wakil kerajaan pusat serta kerajaan-kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan badan itu bersama-sama dengan Menteri-menteri Besar Kedah, Perlis dan Perak serta Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya, konsep koridor utara itu adalah berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama.
Perdana Menteri berkata: “Setiap negeri mempunyai kekuatannya tersendiri. Jika digabung, kekuatan ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat kepada semua rakyat utara berbanding bekerja secara bersendirian.”
Abdullah berkata, inisiatif Koridor Utara itu terdiri daripada program dan pendekatan yang bertujuan untuk merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan itu bagi kesejahteraan rakyat tempatan.
Sementara itu, pembangunan yang dijalankan adalah berteraskan arus pasaran dan perdagangan, supaya kawasan utara tidak ketinggalan dalam era globalisasi, katanya.
Abdullah berkata, matlamat pembangunan ini “mengharuskan perubahan minda mengenai potensi negeri-negeri dan daerah-daerah utara” dan inisiatif Koridor Utara itu berbeza daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor kerana ia meliputi kawasan yang lebih luas, serta mempunyai ciri-ciri penduduk yang berbeza.
“Peluangnya berbeza, dan cabaran-cabarannya juga berbeza. Contohnya, statistik terkini menunjukkan kadar kemiskinan di Kedah dan Perlis lebih tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara,” katanya.
Abdullah berkata, Wilayah Utara juga mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih rendah daripada pendapatan purata negara, dan dengan itu, sasaran Koridor Utara harus menjurus kepada transformasi sosioekonomi masyarakat berbanding dengan Wilayah Pembangunan Iskandar yang berteraskan pertumbuhan bandar.
Namun begitu, falsafah asasnya adalah sama iaitu untuk menambah nilai kepada sektor-sektor di luar bandar, industri-industri bandar dan kepada modal insan, katanya.
“Budaya tambah nilai ini adalah penentu masa hadapan Koridor Utara iaitu kunci kejayaan yang perlu kita kejar dan terapkan dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau menambah, falsafah tambah nilai ini amat penting untuk menutup jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, selain itu, ekonomi luar bandar harus dilonjakkan ke tahap yang moden, mampan dan menguntungkan di mana sektor pertanian luar bandar terutamanya, harus ditransformasi kepada “pertanian baru”.
Peluang-peluang harus dibuka untuk sektor swasta melabur di dalam ekonomi luar bandar supaya teknik-teknik moden dan pengetahuan pasaran dapat disebarkan kepada para pengusaha desa, katanya.
Perdana Menteri berkata, selain itu, pelaburan sektor swasta juga akan memastikan bahawa projek-projek dijalankan pada skala yang komersial dan bagi membuka peluang-peluang ini, beberapa program khas akan dijalankan.
Abdullah berkata, satu daripada program utamanya ialah untuk menggalakkan penggabungan tanah supaya penanaman, pemeliharaan dan penuaian tanaman dapat dijalankan secara moden dan komersial.
Aspek-aspek pengurusan ini akan diterajui oleh syarikat swasta tanpa menggugat kedudukan hak milik tanah, di mana pemilik tanah akan berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih tinggi hasil daripada pulangan pertanian yang berskala besar, moden dan mengikut pasaran, katanya.
Malah, para pemilik tanah dan petani juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah baru, umpamanya dengan menjadi petani kontrak kepada syarikat swasta tersebut.
Beliau berkata, pertanian berskala besar dan komersial akan membolehkan pengembangan sektor hiliran pertanian serta pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS) asas tani.
Abdullah berkata, selain itu, aktiviti mengumpul, memproses dan menjenama produk-produk pertanian akan digalakkan untuk meningkatkan nilai tambah kepada sektor pertanian.
Sebagai contoh, pengurusan tanah padi secara estet akan membolehkan pengembangan industri-industri hiliran padi seperti pembuatan produk makanan, minuman, kosmetik serta farmaseutikal, malah hasil pengeluaran padi, termasuk bahan buangan serat padi, mampu dijadikan produk yang bernilai, katanya.
Beliau berkata, langkah-langkah ini juga akan disokong oleh program-program untuk meningkatkan tahap inovasi dan kemahiran dalam bidang pertanian di mana pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Fakulti Pertanian akan ditubuhkan bersama dengan sektor swasta untuk memantapkan sektor-sektor pertanian yang khusus kepada Koridor Utara.
Perdana Menteri berharap program itu dapat melahirkan generasi profesional tani baru bagi Koridor Utara di mana penglibatan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam pertanian dan perniagaan adalah amat penting bagi masa hadapan ekonomi luar bandar.
“Saya ingin melihat generasi baru luar bandar yang tidak perlu berhijrah ke bandar untuk peluang pekerjaan, yang mampu berbudi kepada bumi dengan cara-cara yang moden dan berteknologi.
“Ini merupakan satu perubahan arus yang akan menukar wajah dan rupa kawasan desa,” katanya. - Bernama