Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Friday, August 17, 2007

Belajar di 2 universiti serentak



Oleh Azman Mahmood


Dr Nik Norzrul Thani jadi pelayan restoran mamak di London biaya pengajian

MUNGKIN tidak ramai yang bertuah menjawat jawatan akademik yang tinggi di universiti dalam usia muda dan yang lebih penting, mampu melaksanakan tanggungjawab itu selaras dengan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan. Namun bagi Pengerusi IIUM Properties Sdn Bhd, Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, pengalaman itulah yang dilaluinya apabila dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada usia 27 tahun.

Pelantikan itu disifatkannya sebagai satu pengiktirafan besar kerana beliau tidak pernah terfikir akan dilantik ke jawatan itu dalam usia ‘mentah’ pada 1987. Sebelum itu beliau adalah Pensyarah Undang-undang di universiti itu.

“Saya sendiri tidak percaya apabila pengurusan UIAM melantik saya sebagai Timbalan Dekan Kuliah Undang-undang. Ini kerana, ketika itu usia saya baru 27 tahun dan boleh dikatakan masih mentah untuk menjalankan kerja sebagai Timbalan Dekan. Tetapi saya terima dengan penuh yakin tanggungjawab besar itu sejajar kepercayaan yang diberikan pihak UIAM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, baru-baru ini.

Walaupun memegang jawatan penting pada usia muda, apa yang dicapainya itu bukan disebabkan tuah semata-mata, sebaliknya kepintaran luar biasa dimilikinya yang membolehkan beliau mencapai kejayaan membanggakan dalam bidang akademik. Bekas pelajar Victoria Institutions (VI) Kuala Lumpur, Nik Norzrul berkata, pandangannya terhadap pelajaran adalah untuk berjaya dalam setiap kursus pengajian yang diambil demi masa depan diri dan keluarga.

Berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan, anak bekas Pengetua Maktab Sultan Ismail (MSI) di Kota Bharu, Nik Norzrul sedikit sebanyak mewarisi kebolehan bapanya, Nik Hassan Thani Wan Omar dalam bidang pendidikan. Ayahnya adalah seorang guru yang disegani ketika mengajar di MSI sekitar tahun 60-an.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah pada 1977 dengan muncul sebagai pelajar terbaik di VI beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perakaunan.

“Bagaimanapun, minat saya lebih kepada undang-undang dan kerana terlalu minat, saya bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke United Kingdom dalam bidang itu, sekali pun menggunakan perbelanjaan sendiri. Sebaik saja tamat belajar di ITM, saya bekerja di sebuah bank dan kemudian sebagai pembantu audit di sebuah firma perakaunan di Kuala Lumpur pada 1981. Ketika itulah saya menyimpan wang untuk memenuhi impian melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan undang-undang,” katanya.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, ketika bekerja di syarikat perakaunan itu, Nik Norzrul ditawarkan biasiswa Pernas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pemasaran profesional, Chartered Institute of Marketing di City Kolej United Kingdom.

“Jadi, saya ambil peluang itu untuk pergi ke London dengan matlamat serampang dua mata iaitu mengikuti kursus profesional dalam bidang pemasaran dan ijazah undang-undang,” katanya.

Waktu itulah, katanya bermula episod sukar mengikuti dua kursus dalam satu masa dengan pembiayaan pengajian ijazah undang-undang di Universiti Buckingham terpaksa ditanggung sendiri. Kerana tidak mahu membebankan keluarga, beliau cuba berdikari dengan melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan pengajian.

“Untuk kursus ijazah pemasaran, saya mendapat biasiswa Pernas, tidak ada masalah, tetapi bagi kursus undang-undang, saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan ayah yang menghantar wang setiap bulan. Saya sebenarnya seorang yang pemalu, tetapi kerana mahu mencari sumber kewangan untuk membiayai pengajian undang-undang, sifat itu saya ketepikan. Saya bekerja secara sambilan di kedai menjual buku terpakai dan menjadi pelayan di restoran mamak di kota London.

“Saya bekerja tiga atau empat hari seminggu iaitu selepas waktu belajar di sebelah petang. Saya mendapat kira-kira 15 pound seminggu hasil kerja sambilan di kedai buku yang berlanjutan selama empat bulan. Pada musim panas ketika cuti pengajian, saya mengambil kesempatan bekerja sebagai pelayan di restoran India,” katanya yang bersyukur dalam kepayahan belajar dua kursus dalam satu masa dan berulang-alik antara dua universiti setiap hari pagi dan petang, akhirnya mencapai kejayaan dengan memperoleh ijazah dalam bidang pemasaran dan undang-undang.

Walaupun kedua-duanya dilalui dengan kejayaan, bagaimanapun kata Nik Norzrul apa yang lebih mencabar ialah apabila beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti London dan mengambil Barrister at Law di Lincolns Inn pada 1985.

“Inilah saat paling mencabar apabila sekali lagi saya mengambil dua kursus dalam satu masa dalam tempoh setahun. Sekali lagi saya terpaksa berulang alik antara dua universiti setiap hari.

Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah kerana lulus kedua-duanya. Saya rasa seperti satu ‘keajaiban’ kerana boleh lulus. Ini kerana, jarang orang buat (kursus) bar dan sarjana dalam satu masa. Apa pun kejayaan saya ini adalah berkat sokongan dan semangat yang diberikan oleh ibu bapa dan seluruh keluarga saya,” katanya.

Menyambung kisahnya sebagai Timbalan Dekan Kuliah Undang-undang UIAM, Nik Norzrul berkata, beliau tidak lama menduduki jawatan itu kerana setahun kemudian, beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti London selama tiga tahun. Sungguhpun begitu, selama setahun menjadi Timbalan Dekan, beliau sempat mengikuti pengajian Diploma Undang-undang Syariah di UIAM.

“Ketika mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti London, antara orang yang banyak membantu saya, saling bertukar fikiran dan berbincang perkara berkaitan kursus pengajian ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga bekas Timbalan Rektor Universiti Sains Islam Malaysia, yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

“Saya sempat tinggal bersama beliau selama sebulan di rumah sewanya di London sebelum beliau pulang ke tanah air selepas selesai membuat PhD di Universiti Kent dalam kajian Perundangan Islam dan syariah. Saya dan rakan-rakan menganggap beliau (Abdullah) seperti ulama kerana beliau amat memahami mengenai hukum agama dan kalau ada majlis doa selamat, beliaulah mengetuai bacaan doa,” katanya.

Sekembalinya ke tanah air selepas tamat pengajian, Nik Norzrul menyambung tugasnya sebagai Timbalan Dekan buat seketika sebelum ditugaskan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), satu tugas yang dianggapnya lebih mencabar. Sembilan bulan memegang jawatan itu beliau kemudian dilantik sebagai Dekan HEP yang mana pada waktu itu usianya baru mencecah 33 tahun yang juga antara ahli akademik paling muda pernah dilantik sebagai Dekan di universiti itu, menggantikan Prof Dr Mohd Noor Manutty. Sewaktu bertugas sebagai Dekan HEP, beliau juga adalah ‘Visiting Fullbright Scholar’ di Sekolah Undang-undang Harvard, Amerika Syarikat (AS) selama setahun.

“Saya memegang jawatan itu selama tiga tahun sehingga 1996 sebelum menyertai firma guaman antarabangsa terbesar di dunia ketika itu, Baker & McKenzie, di Singapura untuk mencari pengalaman.” katanya.

Pada 2004 hingga 2005, Nik Norzrul dilantik sebagai Visiting Chevening Fellow bagi Pengajian Islam di Universiti Oxford, London.

“Ketika itu, saya terbabit dalam badan antarabangsa berkaitan pendidikan undang-undang sebagai Naib Presiden Persatuan Pendidikan Perundangan Komanwel,” katanya yang mengakui sebagai anak Melayu pertama memegang jawatan nombor dua dalam badan berkenaan.

Beliau juga aktif dalam beberapa badan antarabangsa lain berikutan kebolehannya dalam bidang undang-undang dan kewangan antaranya, menganggotai Ahli Jawatankuasa (AJK) Penggubal Peraturan dan Undang-undang dan Sekuriti Antarabangsa (ILA) yang berpangkalan di London.

Selain itu beliau juga diberi kepercayaan menganggotai beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini. Antara jawatan yang dipegang ialah Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Institut Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Sdn Bhd, IIUM Holdings Sdn Bhd, Ahli Jawatan Kuasa Pembaharuan Undang-undang Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Di sektor swasta, beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd dan terbaru Ahli Lembaga Pengarah Bank Al Rajhi (Malaysia) Berhad.

Katanya, selain pernah bertugas di firma guaman Bakers & McKenzie di Singapura, beliau juga pernah bertugas sebagai peguam di beberapa syarikat guaman tempatan seperti Messrs Shahrizat, Rashid & Lee dan Messrs Shearn, Delamore & Co.

Menceritakan lagi kerjayanya, Nik Norzrul berkata, sewaktu bekerja dengan Bakers & McKenzie, beliau ditawarkan menyertai firma guaman tempatan, Zaid Ibrahim & Co. Ketika itu Zaid Ibrahim & Co adalah antara firma guaman terbesar di Malaysia dan satu-satunya yang mempunyai kerjasama dengan firma perundangan antarabangsa, Arthur Andersen.

“Saya menyertai Zaid Ibrahim & Co. pada 1998 atas semangat ingin mengukuhkan firma anak Melayu dan ingin membuktikan kita juga mampu menandingi syarikat bukan Melayu dan asing dalam bidang perundangan. Ternyata keputusan saya meninggalkan rangkaian firma guaman terbesar di dunia ketika itu (Baker & Mckenzie) tepat dan berbaloi,” katanya.




Dapat markah '0' subjek Bahasa Malaysia

“SAMPAI bila pun saya tetap ingat sebagai sejarah dalam hidup kerana mendapat ‘kosong’ markah dalam mata pelajaran bahasa Malaysia dalam peperiksaan penggal pertama Tahun Satu. Saya macam tidak percaya dapat kosong markah, kecuali saya tak boleh membaca, menulis dan mengira atau buta huruf. Tetapi, inilah hakikat yang saya alami mungkin kerana tidak faham soalan.

“Walaupun kisah itu berlaku 40 tahun lalu, ia sentiasa dalam ingatan. Mana tidaknya, saya dapat kosong markah,” kata Nik Norzrul menceritakan kenangan itu ketika belajar di Sekolah Rendah Sultan Ismail (1) Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, ketika mendapat keputusan itu, rasa takut untuk memberitahu ayahnya yang juga seorang guru.

Walaupun tidak dimarahi, katanya, ayah berasa malu dan tidak puas hati sehingga berjumpa guru besar, bertanyakan masalah yang dihadapi anaknya itu.

“Ayah kemudian mengambil keputusan mengajar saya di rumah. Ternyata hasilnya berbaloi apabila keputusan peperiksaan penggal kedua dan akhir tahun, daripada markah kosong mendapat markah penuh 100 peratus selain ujian bulanan.

“Saya bukan murid pintar tetapi selepas peristiwa mendapat kosong markah itu, saya sering mendapat nombor satu dari Tahun Satu hingga Tahun Enam kerana ayah mahu melihat saya berjaya,” katanya yang belum puas untuk mencipta kejayaan dalam bidang akademik.

Hasil ketekunan dalam pelajaran, beliau kini mengecapi pelbagai kejayaan dalam kerjaya akademik, perundangan dan tokoh ekonomi dan kewangan Islam. Antara jawatan pernah disandangnya di institusi pengajian tinggi ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama tiga tahun (1993-1996). Kini meneruskan kerjaya dalam bidang guaman dan menjadi Ahli Lembaga Tertinggi firma guaman terbesar di Asia Tenggara, Zaid Ibrahim & Co yang mempunyai cawangan di Jakarta, Singapura dan Bangkok.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap politik, Nik Norzrul mengakui mempunyai hubungan baik dengan rakan yang terbabit dalam arena itu, selain ahli akademik, korporat, kewangan dan perundangan. Beliau juga mengakui bersetuju kejayaannya yang dinikmati sekarang sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana adanya sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, iaitu Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

“Tanpa semua itu, sukar nak dibayangkan bagaimana orang Melayu boleh maju dan berjaya seperti sekarang. Tetapi, masih banyak lagi perlu dilakukan jika mahu melihat orang Melayu terus berjaya dan setanding dengan bangsa lain dan inilah yang sedang diusahakan oleh seluruh pemimpin negara,” katanya.

Ditanya jika beliau sedia terbabit dalam politik, Nik Norzrul tidak menafikan minatnya ke arah itu tetapi menjelaskan jika sekali pun keputusan itu diambil, ia berasaskan hasrat untuk membela rakyat menerusi perjuangan yang besar untuk orang Melayu menerusi kepimpinan Umno.

“Jika ada ruang dan mendapat sokongan rakan, insya-Allah saya sedia melakukannya. Saya juga mahu berbakti kepada negeri kelahiran saya dan rakyat Kelantan,” katanya

Nik Nozrul berkata, beliau berasa bangga apabila melihat antara anak Kelantan yang berjaya seperti Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Eksekutif Twin Tech, Prof Datuk Dr Ismail Salleh dan kedua-dua mereka itu antara contoh anak murid ayahnya ketika menjadi Pengetua di Maktab Sultan Ismail (MSI) pada tahun 60-an.

Biodata:

Nama: Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Lahir: 29 Jun 1960.

Jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC): Pengarah Institut Pelaburan PNB, Pengarah Tabung Haji, Pengarah UIAM Holdings, Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan, Profesor di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM).

Sektor swasta: Pengarah Fraser & Neave Holdings Bhd, Pengarah Perbadanan Pelaburan dan Perbankan Al Rajhi (Malaysia).

Pencapaian antarabangsa: Bekas Peguam firma antarabangsa, Baker & McKenzie, Prof Sekolah Undang-undang Universiti Murdoch, Australia dan Fellow Institut Perkhidmatan Kewangan Australia (FINSIA) pada 2006.

Buku: ‘Legal Aspects of the Malaysian Financail System’ (2001), ‘Law and Practice of Islamic Banking and Finance (2003) dan ‘Law and Practice of Corporate Finance’ (dijangka terbit akhir 2007). Juga menulis dalam ‘Surveys on Legal and Syariah Issues ini Islamic Financial Services’ yang akan diterbitkan IFSB.

Graduan UTM penerima PhD termuda

Graduan UTM penerima PhD termuda

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh seminggu, rekod Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melahirkan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda negara, akan dipecahkan apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Majlis Konvokesyen ke-39 di Johor Bahru, esok.

Pada majlis itu, Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi, 25, akan dianugerahkan ijazah PhD, sekali gus mengatasi rekod Siti Norasmah Surip, 26, yang menerima ijazah sama pada konvokesyen UKM minggu lalu.

Sharifah Rafidah, anak kedua daripada empat beradik dilahirkan pada 10 Oktober 1981 di Bintulu, Sarawak dan memulakan persekolahan menengah dari 1993-1998 di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Mara Banting, Selangor sehingga 2000.

Beliau kemudian mengikuti pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan tamat pada 2003. Beliau diterima menjadi tutor di UTM dan melanjutkan pengajian di universiti itu pada peringkat sarjana.

Disebabkan pencapaian cemerlangnya pada tahun pertama pengajian sarjana, UTM bersetuju menaikkan status pengajian beliau ke peringkat PhD pada 2005. Dr Sharifah Rafidah berjaya menamatkan pengajiannya pada Mac 2007.

Beliau sudah menerbitkan lima makalah yang terbit dalam jurnal antarabangsa, tiga artikel majalah antarabangsa, satu jurnal kebangsaan, satu majalah kebangsaan, dua persidangan antarabangsa, tiga persidangan kebangsaan dan tiga paten yang difailkan.

Sharifah Rafidah juga berjaya meraih pelbagai anugerah seperti perkhidmatan cemerlang 2006 (cuti belajar); Pingat Emas Ekspo IPTA mengenai penyelidikan dan pembangunan 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan MSC-IHL, 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan UTM-Mara-MDC, 2005; Pingat Perak Ekspo Sains & Teknologi 2004 dan Pingat Perak Inatex 2004.

Sharifah Rafidah kini dilantik pensyarah kanan (gred DS51). Beliau juga aktif menjalankan pelbagai projek penyelidikan menerusi geran penyelidikan yang diperoleh menerusi dua geran E-sciencefund Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dua geran pengkomersialan.

CyberSecurity bantu cegah jenayah siber

Oleh Haryani Ngah


JENAYAH tidak hanya berlaku di alam nyata sebaliknya dalam perkembangan teknologi maklumat yang semakin pantas dan sentiasa berubah setiap masa ia dapat berlaku hanya dengan menaip di papan kekunci komputer.

Bagaimanapun ramai pengguna komputer tidak tahu bagaimana mendapat maklumat atau perlindungan sekiranya berlaku sesuatu mencurigakan seperti pencerobohan ke atas komputer, laman web atau emel.

Pertama kali diperkenalkan pada 1997 dan dikenali sebagai Malaysian Computer Emergency Response Team (MyCert) di bawah kendalian MIMOS Berhad (MIMOS) bertujuan mengawal selia pengguna internet di Malaysia.

Bagaimanapun, pada 24 Januari 1998 MyCERT diberi peranan yang lebih luas dan dijadikan sebagai National ICT Security and Emergency Response Centre (NISER) untuk mengawal ICT negara.

NISER dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 10 April 2001. NISER kemudian dikeluarkan dari MIMOS dan dijadikan entiti berasingan dan dikenali sebagai CyberSecurity Malaysia pada Mac 2007.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu akan menjadi pusat rujukan pakar keselamatan siber kepada mana-mana agensi kerajaan lain dan syarikat swasta, termasuk orang perseorangan bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah di alam siber.

“CyberSecurity Malaysia beroperasi sebagai syarikat kerajaan bukan berlandaskan keuntungan dan berada di kawalselia MOSTI.

“Agensi ini juga bukan badan penguatkuasa, sebaliknya agensi teknikal yang boleh membantu pengguna internet menangani ancaman siber serta memberi khidmat nasihat dan bertindak sebagai biro aduan awam bagi pengguna internet.

“CyberSecurity Malaysia adalah agensi teknikal dan menjadi biro pengaduan kepada pengguna dalam menyelesaikan masalah keselamatan internet di Malaysia,’ katanya.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat koordinasi setempat untuk keselamatan pengguna siber kebangsaan dan ditubuhkan dengan objektif untuk melindungi, membimbing, promosi di samping merangka strategi dalam menangani isu keselamatan siber di Malaysia.

Peranan CyberSecurity Malaysia membabitkan pencegahan jenayah di samping mempromosikan standard dan pengalaman terbaik keselamatan maklumat, membantu mangsa jenayah siber, juruperunding kepada Kerajaan dan mengurangkan pencerobohan ke atas sistem dan rangkaian teknologi maklumat di Malaysia.

Menerusi CyberSecurity Malaysia lima perkhidmatan diperkenalkan kepada orang ramai iaitu ‘Cyber999 atau Tindakbalas Kecemasan Komputer’, ‘Forensik Siber’, ‘Jaminan Keselamatan Maklumat’, ‘Pengurusan Keselamatan Maklumat ’ dan ‘Latihan dan Pembudayaan”.

Orang ramai yang berdepan dengan masalah keselamatan siber boleh mendapatkan khidmat daripada CyberSecurity yang beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang hari Isnin hingga Jumaat. CyberSecurity Malaysia juga membuka komunikasi kecemasan 24 jam melalui emel, sms dan telefon.

Khidmat percuma ketika kecemasan diberikan dan orang ramai boleh menghubungi CyberSecurity Malaysia di alamat Level 7, Sapura@Mines, 7 Jalan Tasik, The Mines Resort City, 43300 Seri Kembangan, Selangor atau hubungi talian 03-89926888, faks 03-03-89453250, emelkan ke info@cybersecurity.org.my atau lawati laman web www.cybersecurity.org.my

Wanita Gemilang: Cendekiawan wanita Melayu gigih kenali tamadun bangsa

Oleh Halina Mohd Noor


MEMBESAR sebagai anak ulama dan imam, bukan penghalang untuk Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abd Karim,68, memperoleh pendidikan tinggi sehingga bergelar antara cendekiawan wanita Melayu tersohor tanah air.

Berkat pandangan jauh ayahnya, Abd Karim, mengenai kepentingan pendidikan, Dr Nik Safiah serta empat kakak dan abangnya yang lain bukan saja dihantar ke sekolah agama, tetapi juga ke sekolah Inggeris di Kota Baharu (KB).

Malah, dua anak perempuannya yang pertama turut dihantar ke sekolah Melayu sehingga mendapat pendidikan pada peringkat MWTC iaitu pencapaian paling tinggi bagi anak Melayu terutama gadis.

Dr Nik Safiah yang ditemui di kediamannya baru-baru ini, berkata pendedahan dunia luar yang diperoleh ayahnya menjadikan beliau lebih liberal dalam pendidikan berbanding rakan sezamannya. Tidak hairanlah, lima anaknya tidak kira jantina diberikan peluang menimba ilmu setinggi boleh.

“Anak kepada ulama, ayah masa muda dihantar ke Makkah untuk belajar. Bila perang dunia pertama meletus, dia pulang ke Kelantan. Kalau difikirkan bapa saya ulama, sepatutnya ke sekolah agama tetapi kerana pendedahan luar, dia berfikiran anaknya sewajar dapat dua jenis pendidikan iaitu Inggeris dan tidak kurang dari segi agama.

“Abang dan saya juga dihantar sekolah Inggeris. Tamat pengajian, abang balik jadi guru besar dan seterusnya guru kumpulan atau istilah sekarang, Nazir Sekolah,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu tidak ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka terutama anak gadis ke sekolah Inggeris. Peluang pendidikan Inggeris ada tetapi hanya untuk orang di bandar, manakala di kampung hanya ada sekolah Melayu.

“Hanya kakak dan ayah saya agak jauh pandangan dan saya dimasukkan terus ke sekolah Inggeris di Kota Baharu (KB). Awalnya cadangan bapa menghantar saya ke sekolah Inggeris mendapat bantahan ibu yang juga anak kepada ulama. Kakak dan ayah tetap bertegas bahawa saya mesti pergi. Masa itu dua batu setengah, kira jauh untuk seorang anak gadis.

“Bantahan itu bukan sebab dia tidak suka, tetapi kerana tidak mahu berjauhan dengan anak bongsunya. Akhirnya sebagai isteri, ibu terima apa saja yang dirasakan baik oleh suaminya. Ibu tidak pandai membaca dan menulis kerana tidak pernah ke sekolah tetapi hafal al-Quran. Kalau saya mengaji, dia duduk di dapur, dia boleh tegur kalau salah,” katanya.

Apabila menuntut di sekolah Inggeris, beliau bersama kakaknya terpaksa berulang alik sejauh empat kilometer setiap hari dengan menaiki beca atau teksi (istilah di Kelantan) dari Kampung Banggol ke KB. Tambang RM10 seorang untuk sebulan.

“Awalnya saya tinggal dengan salah seorang kakak yang menjadi guru besar di KB. Lepas setahun, ibu panggil balik ke kampung kerana tidak mahu berjauhan dengan saya. Sepanjang berulang alik, kami tidak mengalami masalah. Kena usik sikit-sikit itu biasalah,” katanya.

Cabaran utama dihadapi beliau, apabila dipilih ke asrama pertama di Tanah Melayu ketika itu yang dikenali sebagai Malay College di Damansara. Itulah kali pertama beliau meninggalkan kampung kelahirannya sejak 13 tahun dibesarkan di sana. Malay College kemudian dipindahkan ke Melaka dan seterusnya dikenali sebagai Kolej Tengku Kurshiah (TKC) di Seremban.

“Sekitar 1958, ada hanya dua pilihan melanjutkan pelajaran selepas tamat tingkatan lima iaitu ke maktab perguruan di England atau ke tingkatan enam. Ramai memilih ke England kerana itulah saja peluang ke luar negara. Saya pilih ke tingkatan enam di TKC kerana hendak masuk universiti.

“Pada masa itu, tidak ada sekolah di sekitar Pantai Timur menawarkan tingkatan enam. Kalau hendak, kena pergi ke Pantai Barat. Ini bergantung kepada budi bicara ibu bapa sama ada membenarkan anak mereka pergi atau sebaliknya. Jika ibu bapa tidak lepaskan, tidak dapatlah anak pergi,” katanya.

Merasakan dirinya cukup beruntung kerana memperoleh biasiswa sebanyak RM100 sebulan, Nik Safiah berjimat cermat membelanjakan wang berkenaan. Biasiswa yang diterima digunakan untuk membayar sewa asrama, kos pengajian, makan minum dan tambang untuk pulang ke kampung apabila bercuti panjang.

“Sepanjang belajar di Melaka, saya tidak banyak menyusahkan ibu bapa. Saya tidak banyak meminta-minta daripada mereka. Di tingkatan enam, saya belajar ekonomi, Inggeris, sejarah dan geografi. Azam saya untuk masuk Universiti Malaya iaitu satu-satunya universiti yang ada ketika itu. Peluang masuk ke sana bukan mudah kerana ia mengikut meritokrasi.

“Di sekolah dulu tidak pernah belajar Bahasa Melayu tetapi saya berminat memasuki bidang Pengajian Melayu kerana ingin belajar bahasa dan budaya Melayu walaupun sebenarnya saya mendapat biasiswa ekonomi. Saya lihat bidang mengajar linguistik dan antropologi Melayu boleh pergi jauh. Saya fikir, kalau tidak belajar, tidak tahulah mengenai bangsa sendiri,” katanya.

Merasakan tidak sesuai berada dalam bidang akademik tanpa Ijazah Doktor Falsafah (Phd), Dr Nik Safiah melanjutkan pelajaran ke Universiti Ohio, Amerika Syarikat selama tiga tahun. Sokongan suami, Mohd Zin Omar, menguatkan lagi azamnya untuk bergelar Doktor Falsafah walaupun terpaksa meninggalkan dua anak yang masih kecil, manakala dua lagi dibawa bersama.

“Suami hanya menemani selama setahun. Selepas itu, dia pulang bersama dua anak kami ke tanah air. Tinggallah saya sendirian meneruskan pengajian. Sengsara seorang ibu tidak dapat diceritakan kerana merindui anak setiap masa. Bagaimanapun, saya tidak berani balik kerana takut pengajian tersekat.

“Justeru, saya pastikan pengajian berjaya ditamatkan genap tiga tahun. Masa itu, saya banyak menangis. Masuk kedai mainan teringat anak. Bila lihat jiran bermain dengan anak mereka, saya lari kerana tidak tahan hendak menangis. Jadi, saya tidak cadangkan kepada sesiapa untuk meninggalkan anak untuk sambung belajar di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, wanita Malaysia kini bernasib baik kerana kerajaan membangunkan negara dan mengambil sikap wanita boleh memberi sumbangan besar kepada negara. Wanita berada dalam proses pembangunan malah dalam pelbagai bidang, wanita juga tidak diketepikan. Lebih membanggakan, wanita lebih berani bersuara memperjuangkan hak mereka.

PROFIL Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim
TEMPAT LAHIR: Kota Bharu, Kelantan
TARIKH LAHIR: 17 Disember 1939

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Zainab (1948 hingga 1952), Kolej Perempuan Melayu di Negeri Sembilan (1953 hingga 1957), Institusi St Francis, Melaka (1959 hingga 1963), Universiti Malaya, Singapura (1963), Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1965), University Ohio, Amerika Syarikat (1972 hingga 1975)

ANUGERAH: Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa 2001 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Anugerah Tokoh Ilmuwan 2000
Anugerah Wanita Cemerlang Universiti Malaya 1997
Anugerah Wanita Cemerlang Kolej Tunku Kurshiah 1997
Anugerah Wanita Cemerlang Tun Sri Fatimah-AVON 1995

BUKU: Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP); Wanita Malaysia: Kumpulan Esei dan Ceramah
(Pustaka Ilmu Raya); Bahasa Melayu: Persoalan & Pergolakan (Gateway
Publishing House); Wanita Malaysia: Harapan dan Cabaran (K Publishing);
Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Pengajaran (Fajar Bakti) dan Laras
Bahasa serta Strukturalisme Dalam Ilmu Linguistik (Nurin Enterprise).

BUKU TERJEMAHAN: Sosiolinguistik: Satu Pengenalan/Peter Trudgill terbitan DBP.

KERJAYA: Profesor Madya dalam Pengajian Melayu di Universiti Malaya
(1976), Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Melayu di Universiti Malaya (1976
hingga 1978), Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (3 Februari
1989 hingga April 1990)

JAWATAN:
Pengerusi Majlis Penasihat Kebangsaan Mengintegrasi Wanita Dalam Pembangunan (Naciwid)
Ketua II PERTIWI
Naib Presiden Persatuan Siswazah Wanita Malaysia
Ketua Projek Penulisan Tatabahasa Dewan
Ahli Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM), 1992
Pakar Rujuk Penyelenggaraan Teks KBSM bagi Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan.
Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Ketua Jabatan Pengajian Melayu
Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia

Tuesday, August 14, 2007

BPR tahan cif inspektor, 6 anggota polis narkotik Sentul

(Sumber : Utusan Online)
Oleh Ruhaidini Abd. Kadir

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tujuh anggota polis termasuk seorang berpangkat cif inspektor dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini yang dipercayai melakukan jenayah ‘rasuah berkumpulan’ ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kepong, dekat sini malam Khamis lalu.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua suspek berusia di antara 20-an hingga 40-an itu dipercayai telah meminta RM13,000 daripada seorang lelaki dalam satu operasi dadah di sekitar Kepong pada 8 Ogos lalu.
Sebagai dorongan agar tidak ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, mangsa telah memberi RM8,000 kepada kesemua suspek sebagai suapan pada hari berkenaan.
Ekoran tidak berpuas hati dengan jumlah RM8,000 itu, mangsa telah diminta untuk melunaskan baki RM5,000 lagi.
Pada keesokan harinya, mangsa telah didatangi salah seorang anggota terbabit di rumahnya di Kepong pada kira-kira pukul 8 malam.
Bagaimanapun, lelaki itu dipercayai melaporkan perkara tersebut kepada BPR yang kemudiannya memasang perangkap untuk menahan anggota terbabit.
Berikutan penahanan itu, enam yang lain termasuk seorang pegawai berpangkat cif inspektor ditahan kemudiannya.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana kesalahan menerima rasuah.
Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibebaskan atas jaminan BPR.
Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Monday, August 13, 2007

10 panduan untuk melabur di pasaran saham

ANDA ingin melabur di pasaran saham tetapi tidak tahu caranya? Di sini diberikan panduan ringkas.

Langkah 1
Lakukan ‘ujian kewangan kendiri. Analisis objektif kewangan, kekangan (halangan) dan ketahanan terhadap risiko. Tanya diri sendiri sama ada anda sudah bersedia dari segi kewangan untuk melabur di pasaran saham? Jangan sekali-kali meminjam untuk melabur di pasaran saham kerana sentiasa turun naik, anda boleh kehilangan wang yang dipinjam.

Langkah 2
Syarikat broker saham anda dan wakil peniaganya (remisier) mesti dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Untuk semakan, layari lawan web SC di www.sc.com.my atau hubungi 03-6204 8000 (Jabatan Pelesenan).

Langkah 3
Bagi membolehkan anda melabur di pasaran saham, anda perlu membuka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun dagangan di syarikat broker saham anda. Akaun ini adalah untuk kegunaan eksklusif anda. Jangan benarkan sesiapa, termasuk wakil peniaga anda menggunakannya untuk urus niaga mereka sendiri.

Langkah 4
Ketahui produk yang diurusniagakan di Bursa Malaysia. Buat penyelidikan dan dapatkan maklumat secukupnya dari segi ganjaran dan risiko serta cara melabur dalam produk terbabit daripada wakil peniaga anda. Anda boleh melawat laman web Bursa Malaysia di www.bursamalaysia.com atau laman web Pelabur Malaysia di www.min.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk pelaburan yang ditawarkan.

Langkah 5
Pelajari prosedur urus niaga. Gagal memahami sepenuhnya mengenai prosedur urus niaga boleh mengakibatkan kerugian yang disebabkan kesilapan teknik. Minta wakil anda menjelaskan kepada anda.

Langkah 6
Ketahui mengenai syarikat yang ingin anda melabur. Sebelum melabur, buat penyelidikan terhadap syarikat yang anda bercadang untuk membeli sahamnya. Kenali syarikat itu dengan membaca prospektus, laporan tahunan dan artikel dalam akhbar. Keputusan pelaburan anda mestilah berdasarkan maklumat. Elakkan khabar angin (tips).

Langkah 7
Berikan arahan yang jelas. Arahan anda kepada wakil peniaga mestilah jelas. ‘Fifteen’ (15) lot dan Fifty” (50) lot bunyinya mungkin sama di telefon. Berhati-hati kerana di pasaran saham, komunikasi yang tidak betul boleh menyebabkan anda mengalami kerugian yang banyak.

Langkah 8
Semak nota kontrak anda. Selepas anda berurus niaga, semak dengan teliti setiap nota kontrak sebaik saja anda menerimanya. Jika terdapat sebarang kesilapan, hubungi syarikat broker saham anda dengan segera untuk membuat pembetulan.

Langkah 9
Pantau pelaburan anda. Jangan biarkan pelaburan anda tanpa dipantau. Perkara yang anda tidak ambil peduli itu mungkin nanti boleh menyusahkan anda.

Langkah 10
Penuhi tanggungjawab dan laksanakan hak anda! Sebagai pelabur, anda mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi dan hak untuk dilaksanakan. Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah sebagai pemegang saham sesebuah syarikat. Jangan mengabaikannya.

Pelajari lebih lanjut mengenai tanggungjawab dan hak anda dengan melayari laman web Pelabur Malaysia secara percuma di www.min.com.my.Sertailah seminar percuma Pendidikan Pelabur SIDC “Rahsia Pelabur Bijak Di Pasaran Saham” pada 18 Ogos, 2007 di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut di laman web Pelabur Malaysia www.min.com.my atau hubungi 03-62048665.Jika pembaca mempunyai sebarang persoalan mengenai pelaburan (saham atau amanah saham), sila ajukan ke sidc@sidc.com.my atau layari laman web Pelabur Malaysia di www.min.com.my. SIDC sebelum ini adalah cabang latihan dan pembangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang dikenali sebagai Pusat Perkembangan Industri Sekuriti.INFOMULAI minggu ini Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) iaitu peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di Asean, menyiarkan siri pendidikan pelabur SIDC untuk mendedahkan pembaca mengenai cara merancang kewangan dan membuat pelaburan dengan bijak.