Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Saturday, September 1, 2007

Malaysia model negara dunia ketiga



Kehadiran pemimpin asing bukti negara diiktiraf: Syed Hamid

KUALA LUMPUR: Kehadiran ketua negara dan wakil pemimpin kerajaan asing pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 semalam, membuktikan fungsi dan suara Malaysia semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua ketua negara Asean kecuali Myanmar, wakil pemimpin kerajaan rantau Asia Pasifik hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan ke-50 di Dataran Merdeka, semalam.


“Kerajaan menghargai kehadiran mereka. Ia membuktikan mereka mengiktiraf fungsi Malaysia pada peringkat antarabangsa selain model contoh bagi negara dunia ketiga,” katanya selepas perbarisan itu.

Pemimpin negara Asean yang hadir ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Naib Presiden Indonesia, Drs Muhammad Jusuf Kalla; Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont; Lee Hsien Loong (Singapura); Hun Sen (Kemboja); Bovasone Bouphavanh (Laos) dan Nguyen Tan Dzung (Vietnam).

Hadir sama Duke of York, Putera Andrew yang mewakili Ratu Elizabeth II; Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn; wakil Presiden Amerika Syarikat, Clay Sell dan wakil Perdana Menteri Australia oleh Gabenor Jeneralnya, Michael Jeffery.


Wakil Presiden Perancis, Brice Hortefeux; wakil Perdana Menteri Belanda, Prof Dr Ruud Lubbers; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri New Zealand, Rick Barker; wakil Presiden Pakistan, Leftenan Jeneral Jayed Asraf dan wakil Presiden Sri Lanka, Rohitha Bogollagama.

Sementara itu, beberapa diplomat asing yang beribu pejabat di ibu negara ketika ditemui kagum dengan sambutan kemerdekaan kali ini.

Timbalan Duta Qatar, Abdul Rahman Mohamad, berkata acara kemerdekaan tahun ini menarik dan persembahannya melambangkan perpaduan kukuh masyarakat pelbagai kaum.

Duta Timor Leste, Juvencio De Jesus Martins, berkata pertunjukan warna warni dan persembahan kebudayaan memberi inspirasi dan mesej kepada negaranya bahawa perpaduan kaum penting untuk mencapai kejayaan.

Duta Oman, Aflah Altaei, berkata penyertaan semua kaum membuktikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat selepas 50 tahun merdeka.

Penolong Pesuruhjaya Tinggi Fiji, Vani Samuway, berkata acara sambutan kemerdekaan dijayakan menggambarkan kejayaan Malaysia sejak merdeka.

Duta Senegal, Abdel Kader Pierre Fall, berkata kemeriahan memberi gambaran jelas keharmonian penduduk yang begitu bangga dengan kejayaan yang dinikmati 50 tahun selepas merdeka.

Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Richard Leete, berharap Malaysia terus maju dan mengekalkan keharmonian serta keamanan sekarang.

Pemenang Hadiah Nobel 2001 dari Universiti Columbia, Joseph E Stiglitz, berkata hubungan kaum di Malaysia unik serta kaya dengan pelbagai budaya dan rakyat asing pasti kagum dengan semangat perpaduan itu.

Wednesday, August 29, 2007

Era televisyen diramal berakhir

Pakar Google yakin masyarakat dunia pilih internet

LONDON: Salah seorang pengasas internet, Vince Serf, meramalkan era televisyen bakal berakhir dan semakin mendekati ‘saat iPod’, lapor akhbar The Telegraph.

Vince Cerf yang membantu membina internet ketika bekerja sebagai penyelidik di Amerika Syarikat, berkata dengan cara sama orang ramai lebih suka memuat turun muzik kegemaran mereka ke dalam iPod, penonton tidak lama lagi akan memuat turun program kegemaran ke dalam komputer.

“Lapan puluh lima peratus daripada video yang kita tonton sudah dirakamkan terlebih dulu, jadi anda boleh menetapkan sistem untuk memuat turunnya pada setiap masa.

“Anda masih memerlukan siaran langsung televisyen untuk rancangan tertentu seperti berita, acara sukan dan kecemasan tetapi ia semakin menjadi seperti iPod, anda memuat turun kandungan untuk menyaksikannya kemudian,” kata Cerf, yang memegang jawatan Timbalan Presiden Google, enjin carian terbesar dunia.

Walaupun permintaan terhadap televisyen masih belum menjadi aktiviti utama di United Kingdom, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), ITV dan Channel 4 sudah pun melabur sejumlah wang dalam teknologi yang membolehkan penonton menyaksikan rancangan kegemaran mereka melalui komputer.

Bagaimanapun, ada pengkritik termasuk beberapa pembekal khidmat internet, memberi amaran internet akan lumpuh apabila jutaan orang memuat turun program secara serentak.

Dalam masa empat tahun, dijangkakan bilangan video yang disaksikan menerusi internet akan meningkat empat kali ganda, dengan orang ramai tidak lagi menyaksikan klip pendek sebaliknya menonton program lebih lama.

Syarikat jalur lebar mendakwa perkhidmatan itu akan menyebabkan ‘kesesakan’ yang menelan kos besar untuk diasingkan dan pelanggan yang terpaksa membayar bil.

Namun, Vince Cerf menyifatkan amaran itu sebagai ‘taktik menakut-nakutkan’ orang ramai atas alasan pengkritik meramalkan 20 tahun lalu bahawa internet akan lumpuh apabila seluruh dunia mula menggunakannya pada masa sama.

“Dalam masa 30 tahun, ia meningkat sejuta kali. Kita jauh dari masalah kapasiti.

“Kebimbangan itu boleh difahami apabila mereka melihat jumlah besar maklumat digerakkan seluruh online,” katanya.

Menetapkan visinya bagi masa depan internet, Vince Cerf berkata, dia mahu mesejnya sampai kepada seberapa ramai orang yang boleh.

“Saya mahu penggunaan internet diperluaskan. Saya mahu setiap orang daripada enam bilion manusia di planet itu ada hubungan dengan internet,” katanya.

Vince Serf turut bimbang mengenai perlindungan terhadap simpanan maklumat dalam internet.

“Kita tidak tahu sama ada data itu boleh disimpan 1,00 tahun dari sekarang,” katanya. – Agensi