Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Tuesday, July 10, 2007

Nanoteknologi Mampu Jana Hasil Pertanian

(Oleh DR. SAIFOLLAH ABDULLAH dan DR. MOHAMAD RUSOP)

IDEA nanoteknologi telah diutarakan lebih 50 tahun yang lalu oleh seorang ahli fizik, Richard Feyman.

Walau bagaimanapun idea ini telah mendapat perhatian semula pada awal tahun 1991, dengan penemuan tiub karbon bersaiz nano oleh saintis dari Jepun, Iijima. Nanoteknologi merupakan kajian dan pemfabrikasian peranti pada skala nanometer iaitu satu per bilion meter pada ukuran panjang.

Nanoteknologi dijangka digunakan secara meluas menjelang 2015. Berbagai industri akan mendapat manfaat dari nanoteknologi misalnya farmaseutikal, teknologi maklumat dan komuniasi (ICT), elektronik dan tidak terkecuali bidang pertanian.

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang rancak mempergiatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) mestilah memanfaatkan bidang nanoteknologi ini. Bagi sebuah negara yang ingin menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang ia tidak harus ketinggalan dalam membangunkan infrastruktur penyelidikan dalam bidang nanoteknologi dan memberi perhatian khusus setanding dengan negara-negara lain. Malaysia yang kini sedang memberi tumpuan dalam bidang pertanian dan industri asas tani dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mestilah memanfaatkan teknologi ini.

Nanoteknologi dijangka banyak memberi manfaat dalam bidang ini meliputi bidang penanaman dengan penghasilan baja dan zat penggalak, sistem kawalan menggunakan nanoteknologi, keselamatan makanan, sistem kawalan penyakit, kawalan alam sekitar dan lain-lain.

Terdapat banyak produk berasaskan nanoteknologi berkaitan dengan pertanian dan industri asas tani sedang dibangunkan dan ada di antaranya telah memasuki pasaran. Baja pelepasan perlahan yang berkecekapan tinggi telah digunakan secara meluas dalam bidang pertanian di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan. Beberapa syarikat perladangan besar di Malaysia juga telah mula berminat dalam penggunaan baja jenis ini. Baja jenis ini dikatakan dapat meningkatkan hasil pertanian yang memberangsangkan di samping menjimatkan perbelanjaan.

Bahan pengaktif-nano atau perangsang-nano yang berfungsi sebagai perangsang penghasilan buah juga merupakan di antara produk nanoteknologi yang telah dipasarkan dan mendapat permintaan tinggi dalam pertanian moden. Ia dikatakan dapat meningkatkan hasil pertanian dari 20 peratus sehingga 50 peratus.

Alat penderia-nano jenis penderia-kimia berasaskan bahan berstruktur-nano telah diguna bagi menentukan keberkesanan penggunaan baja dalam sektor perladangan. Selain dari itu juga alat pengesan ini digunakan bagi memantau sisa racun serangga di dalam air, ia amat berfaedah bagi memastikan pencemaran air di kawasan pertanian dan persekitarannya. Penggunaan zarah-nano dalam sistem pengangkut di dalam tanah, air dan pokok juga merupakan teknologi yang mesti diterokai bagi mengembangkan lagi penggunaan nanoteknologi.

Nutrien

Penggunaan zarah-nano bersalut nutrien yang digunakan bersama makanan ternakan amat diperlukan kerana ia memberi kesan yang pantas. Ia amat berguna dalam bidang ternakan seperti ayam dan lembu serta ternakan air seperti ikan dan udang.

Selain sektor pertanian dan perladangan nanoteknologi juga amat berguna dalam meningkatkan nilai tambah hasil-hasil pertanian. Para penyelidik dari Institut Sains, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara misalnya telah berjaya menghasilkan tiub karbon bersaiz nano atau lebih dikenali sebagai ‘CNT’s’ dari bahan buangan hasil pertanian.

Tiub karbon bersaiz nano biasanya di hasilkan dari bahan berasaskan hidrokarbon. Bahan nano ini amat berpotensi dalam pelbagai kegunaan dari perkakasan kegunaan harian sehinggalah kepada teknologi tinggi seperti penapis udara dan air, peranti elektronik dan optoelektronik, sumber tenaga dan penyimpan tenaga dan lain-lain lagi.

Industri pembuatan ubat-ubatan tradisional dan makanan kesihatan berasaskan hasilan semula jadi amat popular di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan pokok herba bermutu bagi tujuan perubatan berasaskan hasilan semula jadi mestilah memanfaatkan keunggulan nanoteknologi. Berasaskan teori nanosains bahawa kesan nanoteknologi dapat dirasai apabila serbuk atau bahan mencapai saiz sekecil kurang dari 100 nanometer atau sekecil rambut kita jika dibelah sehingga 50,000 kali.

Oleh itu dengan menghasilkan ubat-ubatan dari hasilan semula jadi atau makanan kesihatan dalam bentuk serbuk bersaiz nano, berkemungkinan besar ia akan memberi kesan yang lebih baik, cepat dan berkesan.

Industri makanan yang banyak bergantung kepada industri pertanian dan asas tani juga akan mendapat manfaat besar dari nanoteknologi. Mengikut satu sumber Nanotechnology in Agriculture and Food Production-Anticipated Applications yang ditulis oleh Jennifer Kuzma dan Peter VerHage, September 2006, nanoteknologi akan menyumbang sebanyak AS$20 bilion menjelang 2010 dalam industri makanan. Ia merangkumi industri pembuatan makanan sehinggalah kepada pembungkusan dan penyimpanan makanan dari hasil pertanian.

Sebenarnya banyak lagi yang perlu dikaji, dibincang dan diterokai bagi memanfaatkan nanoteknologi dalam industri pertanian dan asas tani negara.

* PENULIS ialah pensyarah Institut Sains, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara.

Peniaga Bumiputera Di KLCC Makin Tertekan

(Sumber : Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kira-kira 12 peniaga bumiputera di Suria KLCC kini semakin tertekan apabila pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal itu menaikkan sewa tapak lebih 50 peratus setiap tiga tahun.

Selain itu, peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah oleh pihak pengurusan.

Pemilik premis Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah ketika dihubungi berkata, banyak tekanan diberikan oleh pihak pengurusan Suria KLCC yang bertujuan untuk mengusir mereka.

‘‘Mereka (Suria KLCC) memberi tekanan hebat dari segi kenaikan sewa yang tinggi dari tahun ke tahun serta arahan untuk mengubah konsep kedai.

‘‘Bebanan terutamanya dari segi kewangan terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh peniaga bumiputera yang menyewa premis di KLCC,’’ katanya.

Jelasnya, peningkatan kadar sewa sebanyak kira-kira RM15,000 setiap tiga tahun jelas menekan peniaga bumiputera di pusat beli-belah itu.

‘‘Bayangkan dari sewa sebanyak RM14,000 sebulan enam tahun lalu kini telah meningkat menjadi RM43,000 sebulan.

‘‘Apa yang jelas, sebuah restoran Korea khabarnya akan menggantikan tempat ini seandainya saya ‘mengalah’ dan berpindah keluar dari Suria KLCC,’’ ujarnya.

Juhaidi berkata, dia bercadang untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Bertindak Peniaga Bumiputera KLCC bagi membela nasib peniaga bumiputera yang masih bertahan di situ.

‘‘Saya berharap pihak tertentu yang bertanggungjawab tidak terlalu leka sehingga nasib peniaga bumiputera semakin tertindas dan lenyap dari bangunan milik kita sendiri,’’ jelasnya.

Dia juga kesal kerana pertemuannya dengan pihak pengurusan tertinggi Petronas untuk membincangkan perkara tersebut tidak mendatangkan sesuatu yang positif.

‘‘Sayangnya, aduan daripada seorang peniaga bumiputera yang bermasalah hanya dipandang mudah dan diserahkan kepada pengurus Suria KLCC yang bukan berasal dari negara ini untuk menyelesaikannya,’’ ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan tindakan pihak pengurusan pusat beli-belah Suria KLCC yang menaikkan kadar sewa sehingga 50 peratus sehingga membebankan pemilik premis bumiputera di kompleks tersebut.

Keadaan itu juga kini menyebabkan sebahagian besar peniaga bumiputera terpaksa menghentikan operasi mereka kerana tidak mampu untuk menanggung kos sewa yang terlampau tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kebanyakan peniaga bumiputera yang masih berniaga di situ takut untuk mengadu masalah yang dihadapi kepada pihak yang berkaitan.

Ini kerana mereka tidak mahu ‘periuk nasi’ terjejas ekoran setiap aduan yang dikemukakan menyebabkan pihak pengurusan pusat beli belah mencari alasan untuk memindahkan premis mereka ke lokasi baru yang didakwa tidak strategik.

Sementara itu, pihak pengurusan KLCC yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

3 Koridor Pembangunan Akan Dilancar

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kerajaan bakal melancarkan Wilayah Pembangunan Koridor Utara, Koridor Pantai Timur serta Koridor Pertumbuhan Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua bulan lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelan pembangunan di wilayah-wilayah berkenaan sudah hampir siap dan kini hanya memerlukan penelitian terakhir.

‘‘Saya menjangkakan pelan pembangunan ini dapat disiapkan tidak lama lagi,’’ katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perniagaan Meja Bulat Economist dan Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Pembentukan tiga wilayah koridor ekonomi itu dicadangkan dalam Bajet 2007 bagi mengurangkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar.

Pembangunan bagi Koridor Utara yang meliputi Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak Utara bakal diterajui oleh Sime Darby Bhd. manakala pembangunan Koridor Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang dijalankan oleh Petronas.

Menurut Perdana Menteri, pelan pembangunan itu kemudian akan dibentangkan kepada sultan-sultan dan yang dipertua negeri-negeri terbabit untuk mendapatkan perkenan mereka.

Abdullah berkata, pendekatan itu adalah prosedur sama yang dilakukan dalam pelan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Difahamkan, pelan pembangunan Koridor Utara akan dilancarkan pada akhir bulan ini.

Menurut Perdana Menteri, pembentukan koridor-koridor itu bertujuan menggunakan kekuatan sedia ada negeri-negeri terbabit melalui pengenalan langkah-langkah dan insentif bagi menggalakkan pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan kakitangan.

‘‘Kerajaan juga akan memberi perhatian khusus kepada produktiviti pertanian dan pembangunan luar bandar yang merupakan faktor dominan dalam ketaksamaan ekonomi,’’ katanya.

Monday, July 9, 2007

Dulu Gadis Pendiam Kini Perunding Cemerlang






(Sumber : Utusan Malaysia)
--------------------------------------------------------------------------------



DALAM rekod penilaian bekas majikannya pernah menilai dia sebagai seorang pekerja yang baik dan cekap, tetapi lokek senyum dan berat mulut untuk bercakap.

Namun, siapa sangka wanita yang dulunya cukup pendiam dan lebih suka menyendiri, kini berubah serta boleh meraih pendapatan hingga puluhan ribu melalui kerjaya yang memerlukan dia banyak bercakap dan bertemu orang.

Saidatul Norhiyah Abdol, 33, sendiri sukar mempercayai dirinya mampu mencapai sehingga ke tahap sekarang. Apatah lagi apabila mengenang baru empat atau tiga tahun lepas dia sekadar seorang kerani biasa yang gaji setiap hujung bulan cukup-cukup untuk belanja sendiri dan sedikit dititip ke kampung.

“Bukan tidak bersyukur, tapi selepas sembilan tahun makan gaji saya tidak nampak apa-apa yang berubah dalam hidup saya.

“Bahkan, impian untuk memberi kesenangan kepada ibu bapa di kampung yang tertanam sejak sekolah lagi semakin kabur.

“Setiap kali balik kampung saya lihat garisan kedut pada wajah orang tua saya bertambah. Melihat itu saja saya jadi panik, takut tak sempat menunaikan hajat untuk sekurang-kurangnya menghantar mereka ke Mekah,” kata wanita berasal dari Behrang, Perak ini.

Sementelah sudah membuka kisah silam, Saidatul tidak malu mengaku dia lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang susah.

Bapanya hanya berkerja kampung yang pendapatan tidak sampai pun RM300 sebulan bagi menanggung sembilan anak.

“Bayangkan seterika pun kami tak mampu beli sedangkan waktu itu (sekitar tahun 1980-an) orang lain sudah ada macam-macam alat elektrik.

“Setiap malam kami adik beradik akan letak baju bawah tilam supaya baju nampak licin bila ke sekolah,” katanya sayu.

Sebagai anak kedua, Saidatul sanggup melupakan impian menjejak kaki ke universiti bagi memberi peluang saudara sulongnya meneruskan pengajian.

Sebaliknya, dia memberanikan diri memperjudi nasib di kota bagi mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan.

Sekadar berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, dia hanya mampu meraih jawatan kerani di sebuah syarikat insurans dengan gaji yang sebahagiannya dihantar ke kampung.

“Bagaimanapun, bekerja tidak menumpulkan minat saya untuk belajar. Secara sambilan, saya masuk kelas dan mengambil macam-macam jenis peperiksaan berkaitan bidang insurans dan kewangan.

“Saya fikir dengan cara itu saja saya dapat sekurang-kurangnya menambah angka pada slip gaji,” katanya.

Sembilan tahun berusaha, empat kali bertukar majikan, namun perubahan yang berlaku tidak seperti yang diharapkan.

Saban hari jiwanya meronta untuk berbuat sesuatu yang dapat mengubah kehidupannya sekali gus nasib ibu bapa di kampung.

Bagaikan diatur-atur, Saidatul berkenalan dengan Azizah Saad, salah seorang perunding unit amanah paling berjaya dan telah sampai ke tahap Pengurus Agensi Kumpulan di Public Mutual, yang kemudian mengajaknya untuk sama-sama menerokai bidang tersebut.

“Mulanya saya buat secara sambilan, tapi kemudian saya fikir setakat sebelah kaki tidak akan bawa saya ke mana. Saya nekad berhenti kerja untuk menyertai unit amanah secara serius,” katanya.

Kebetulan waktu itu, perkahwinan yang dibina seawal usianya 22 tahun menemui titik noktah dengan dikurnia seorang anak perempuan yang kini berusia lapan tahun.

Kegagalan rumah tangga juga ibarat wake up call yang mengembalikan ingatannya pada janji yang pernah dibuat sewaktu mula berkerja dulu.

“Saya pernah bertekad pada diri sendiri untuk menyenangkan orang tua saya. Tetapi jodoh sampai lebih awal membuatkan sedikit sebanyak fokus saya beralih arah.

“Mungkin ini hikmah di sebalik kegagalan tersebut. Kalau pun tidak kerana janji itu, saya ada anak yang perlu diambil kira. Semua itu menjadi penyuntik semangat untuk saya bangun dan berusaha demi kelangsungan hidup kami dua beranak,” katanya.

Begitu pun, kerjaya baru yang dipilih tidak semudah diduga, malah enam bulan pertama bersama unit amanah tempoh yang cukup mencabar bagi Saidatul. Bermula dengan kosong, dia banyak bergantung pada ‘mentornya’ dengan mengikut apa saja yang mereka buat.

“Ibaratnya macam anak ayam mengikut ke mana saja ibunya bawa.Tapi saya tak kisah sebab masa itu memang masih mentah dan banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya.

Biarpun dalam keadaan masih ‘bertatih’, selepas enam bulan pertama itu, Saidatul mampu membuat jualan sebanyak RM850,000 dengan pendapatan purata hampir mencecah lima angka sebulan.

Lebih bermakna genap setahun bergelar perunding unit amanah, dia berjaya memenuhi impian menghantar orang tuanya ke Mekah menunaikan rukun Islam kelima.

“Sebagai anak, saya rasa itulah detik paling bermakna dan saya bersyukur kerana dapat menghantar mereka ke Tanah Suci dalam keadaan mereka masih sihat dan kuat,” katanya.

Mencecah jutaan

Kini, biarpun baru dua tahun menjadi perunding unit amanah sepenuh masa, jualannya sudah mencecah jutaan ringgit dan beberapa kali memenangi cabaran yang diberikan oleh syarikat.

Bagi Saidatul segala-galanya berkat kesungguhan mengikut latihan serta tunjuk ajar daripada para senior yang tidak jemu-jemu membimbingnya.

Justeru, perkara yang sama dilakukan terhadap ejen-ejen baru yang dibimbingnya sekarang agar mereka dapat mengecapi kejayaan sebagaimana yang beliau nikmati.

“Kerjaya ini amat bergantung dengan kerja berpasukan, selain kesediaan untuk belajar dan terus belajar,” katanya yang tampil elegan dengan jaket pendek dan seluar panjang.

Dia yang kini mencapai tahap pengurus agensi telah merekrut lebih 20 ejen yang masing-masing sedang aktif mengorak langkah.

Berkongsi petua kejayaan, kata Saidatul, selain mahir dengan ‘produk’ yang mahu dijual, semangat dan tekad perlu kuat serta tahan menghadapi kegagalan.

Katanya, tidak semua pelanggan yang ditemui akan menerima produk yang dicadangkan, malah daripada 10 mungkin hanya dua atau tiga yang menerima.

“Waktu itu kita perlu bersedia menerima penolakan, jangan cepat mengaku kalah. Saya sendiri, sudah tidak terbilang berapa kali menangis dalam kereta lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pelanggan yang ‘lepas cakap’.

“Tetapi saya akan pastikan rasa kecewa atau sedih itu habis di dalam kereta dan tidak terbawa-bawa hingga menjejaskan kerja seterusnya.

“Apa yang selalu saya ingat, niat saya memberi produk yang terbaik, kalau pelanggan tak mahu itu hak mereka,” katanya yang turut mencabar golongan muda lebih-lebih yang menganggur untuk menyertai bidang tersebut sebagai permulaan mengubah hidup kepada yang lebih baik.

Apakah sebenarnya unit amanah?

* Skim pelaburan kolektif yang diurus secara profesional dengan mengumpulkan wang seorang individu dan ribuan pelabur lain.

* Pengurus pelaburan yang pakar akan melaburkan wang tersebut bagi pihak pelanggan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut matlamat pelaburan dana tersebut

* Perunding unit amanah (UTC) membantu pelabur merancang simpanan dalam tempoh sederhana (tiga tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun).

* Pelan perancangan simpanan mesti bersesuaian dengan individu tersebut.

* Pelaburan dalam unit amanah ada turun naik mengikut harga pasaran, tetapi risikonya rendah dan boleh mengendalikan risikonya dengan baik

* UTC yang komited dan terlatih akan membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan tersebut.