(Sumber : Utusan Online)
Perpustakaan atau kutub- khanah adalah citra korpus ilmu dan lambang intelektual sesebuah bangsa, agama dan negara yang bertamadun. Institusi ini telah lama wujud sejak ribuan tahun dulu di mana sejarah kegemilangan tamadun agung Mesir, Rom, Parsi, China, India dan sebagainya adalah seiring dengan kewibawaan serta keagungan perpustakaan.
Perpustakaan terbesar dunia The Library of Congress di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki jutaan koleksi keilmuan adalah inspirasi dan aspirasi sebenar dinamis perpustakaan dunia. Perpustakaan dikatakan wujud semasa berkembangnya kebudayaan dan keilmuan Sumeria, Babylon dan Assyria yang terletak di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3000 hingga 650 Sebelum Masihi.
Perpustakaan Alexandria atau Iskandariyah yang dibina pada awal abad ke-3 Sebelum Masihi pada masa pemerintahan Ptolemeus II umpamanya pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia, menyimpan kira-kira 400,000 sehingga 700,000 naskhah gulungan papirus dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk geometri, kedoktoran, astronomi, bahasa dan sebagainya.
Dr. Mustafa As-Siba‘i telah menukilkan bahawa Muhammad Bin Abdul Malik Az- Zayyad memberi 2,000 dinar setiap bulan kepada penterjemah dan penyalin buku sebagai ganjaran di atas usaha gigih mereka.
Khalifah Al-Makmun pula selalu memberi hadiah emas kepada Hunain Bin Ishaq seberat buku-buku yang telah diterjemahkan beliau ke dalam bahasa Arab.
Ini adalah contoh unggul betapa pemerintah silam begitu mengambil berat dan telah melaksanakan inisiatif penting meneruskan sejarah kegemilangan buku dan perpustakaan.
Sejarah keagungan Islam merekodkan kegemilangan tradisi intelektual Islam dengan terbinanya perpustakaan yang berkaliber seperti Perpustakaan Khalifah Dinasti Fatimiyah dan Darul Hikmah di Mesir, Perpustakaan Baitul Hakam di Baghdad, Perpustakaan Al-Hakam di Andalus, PerPustakaan Bani Ammar di Tripoli, Perpustakaan Al-Fath Bin Khaqan dan banyak lagi yang menjadi rujukan peminat serta pencinta buku dan pelajar dari seluruh dunia.
Di sini mereka menjalankan aktiviti diskusi, mentelaah, menyalin buku dengan bebas tanpa sebarang sekatan, bahkan diberi galakan dan insentif dari pihak pemerintah ketika itu.
Turut dilaporkan juga lahirnya begitu ramai genre penyalin dan penterjemah buku- buku yang bermutu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu diperoleh melalui pembelian, pemindahan, pertukaran oleh pihak pemerintah dan termasuk proses penaklukan ke atas Ankara, Armenia, Cyprus dan sebagainya. Proses pemindahan ini telah mengubah landskap transformasi penterjemahan, penyalinan dan perkembangan dunia buku serta korpus ilmu dunia Arab.
Kewujudan perpustakaan menimbulkan integrasi minat membaca di kalangan masyarakat dan berlakunya proses menginstitusikan budaya membaca dalam sistem pemerintahan negara.
Menyelami perkembangan perpustakaan sebagai institusi kecemerlangan umat, maka kita perlu memperkasa dan mempertingkatkan lagi fungsi perpustakaan sewajarnya di negara kita.
Perpustakaan adalah khazanah dan aset negara yang amat berharga serta perlu diberikan pembelaan sepenuhnya. Di samping kewujudan Perpustakaan Negara Malaysia, kita memiliki perpustakaan awam hampir di setiap negeri termasuklah perpustakaan daerah, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.
Namun begitu, kebergantungan kepada institusi ini tidak cukup dan ini menuntut semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta perlu mewujudkan perpustakaan di premis masing-masing.
Sebagai contoh mahkamah di seluruh Malaysia perlu mewujudkan perpustakaan di kompleks mahkamah agar sesiapa yang berminat boleh membuat rujukan berkenaan undang-undang secara langsung tanpa perlu pergi ke perpustakaan awam dan universiti.
Walaupun perpustakaan yang ada kini hanyalah bersifat koleksi peribadi para hakim dan majistret sahaja, tidak dibuka kepada umum, maka langkah menyediakan kemudahan perpustakaan memudahkan orang ramai, pelajar, pesalah, tertuduh dan sesiapa sahaja membuat rujukan dan carian akademik serta maklumat berkaitan undang-undang. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat celik undang-undang.
Hospital serta klinik kerajaan dan swasta juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada orang ramai, pelajar dan pesakit agar mereka boleh mendapatkan akses maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan bidang perubatan dan kesihatan, di samping dapat mengisi masa lapang ketika mereka berada di hospital dan klinik.
Melalui kemudahan perpustakaan ini diharapkan dapat membantu usaha kerajaan membimbing dan membentuk masyarakat yang sihat dan bermaklumat.
Pusat dan agensi peranginan, hotel, pusat rekreasi dan percutian juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada pelanggan mereka di samping bercuti, mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan di mana sahaja mereka berada serta pada bila-bila masa.
Di samping itu kompleks beli-belah, pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour, Makro dan sebagainya juga digalakkan menyediakan kemudahan yang sama walaupun terdapat banyak kedai buku besar yang menyediakan kemudahan membaca dan merujuk buku secara percuma.
Pejabat-pejabat kerajaan, syarikat korporat, lapangan terbang, hendaklah menjadi contoh dan model penting menjadikan perpustakaan sebagai prasarana utama dalam proses pentadbiran dan pengurusan mereka. Dengan adanya perpustakaan, kemudahan menyimpan pelbagai koleksi maklumat dan menyediakan perkhidmatan dapat dilakukan seperti buku, majalah, jurnal dan sebagainya.
Gudang maklumat ini juga dapat menghimpun sumber bercetak, tidak bercetak dan elektronik untuk kegunaan syarikat dan rujukan orang ramai yang berminat terutamanya pelajar dan penyelidik.
Masjid dan surau juga wajar menyediakan kemudahan perpustakaan untuk kemudahan ahli jemaah dan kariah setempat. Tradisi Islam membuktikan perpustakaan telah memainkan peranan yang cukup penting dan merupakan pusat maklumat dan ilmu pengetahuan yang cukup berkesan.
Buku, jurnal, majalah dan bahan ilmu lain tidak semestinya bersifat keagamaan semata-mata tetapi perlu dipelbagai merangkumi ekonomi, teknologi, pendidikan, sosial, sains dan sebagainya.
Perpustakaan mencerminkan keadaan tahap sosioekonomi, sosial dan budaya serta taraf pendidikan negara dan masyarakat di Malaysia secara langsung.
Negara dan masyarakat yang bertamadun dan memiliki budaya menghargai ilmu pengetahuan perlu menterjemahkannya kepada pembangunan perpustakaan dan sebagai permulaan, maka setiap dari kalangan kita perlu memiliki sekurang-kurang perpustakaan peribadi di rumah dan bilik pejabat masing-masing.
* MOHAMAD Sofee Razak ialah seorang peguam.
Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.
Monday, July 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
►
2008
(1)
- ► 11/23 - 11/30 (1)
-
▼
2007
(50)
- ► 11/25 - 12/02 (1)
- ► 09/02 - 09/09 (5)
- ► 08/26 - 09/02 (2)
- ► 08/19 - 08/26 (3)
- ► 08/12 - 08/19 (6)
- ► 08/05 - 08/12 (2)
- ▼ 07/29 - 08/05 (3)
- ► 07/22 - 07/29 (3)
- ► 07/15 - 07/22 (5)
- ► 07/08 - 07/15 (4)
- ► 06/24 - 07/01 (3)
- ► 06/17 - 06/24 (4)
- ► 05/06 - 05/13 (1)
- ► 02/25 - 03/04 (1)
- ► 02/18 - 02/25 (1)
- ► 01/14 - 01/21 (2)
- ► 01/07 - 01/14 (4)
-
►
2006
(7)
- ► 12/31 - 01/07 (5)
- ► 12/24 - 12/31 (2)
No comments:
Post a Comment