Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Thursday, July 19, 2007

Mlaysia Dipuji Teroka Teknologi Nuklear

PUTRAJAYA 18 Julai – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) gembira dengan usaha Malaysia meneroka ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi nuklear melalui pembinaan Makmal Pengawasan Nuklear.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Ketua Pengarah IAEA, Dr. Mohamed Elbaradei menyatakan, usaha itu tidak bermakna negara ini mahu menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif.

‘‘Beliau cukup senang dengan cara Malaysia dan menyatakan pembinaan makmal pengawasan itu adalah perkembangan yang baik serta satu tindakan positif,

“Beliau juga menyatakan IAEA akan memberikan kerjasama kepada negara ini dan saya berharap dapat berjumpa dengannya lagi sekiranya menghadiri mesyuarat di Vienna nanti,” katanya selepas menerima kunjungan Mohamed di pejabatnya di sini hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membina Makmal Pengawasan Nuklear bernilai kira-kira RM100 juta di Bukit Ibam, Rompin, Pahang.

Makmal nuklear yang pertama di Asia Tenggara dan ke-16 di dunia itu akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Asia Tenggara akan mempunyai beberapa reaktor nuklear penjana elektrik dalam 10 tahun akan datang dengan Indonesia dijadual membangunkan program kuasa nuklear pada 2016 manakala Vietnam dan Thailand masing-masing pada 2018 dan 2021.

Syed Hamid memberitahu, IAEA menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama dari segi pembinaan dan kemudahan di makmal pengawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada tenaga nuklear akan digunakan sebagai sumber alternatif pada masa depan namun tidak meminggirkan kepentingan teknologi tersebut.

Mengenai isu nuklear Korea Utara, Syed Hamid memberitahu, semua pihak terlibat tidak semestinya menetapkan satu tarikh akhir untuk mencari penyelesaian sebaliknya mengambil pendekatan yang holistik dan fleksibel.

Beliau menjelaskan, sekiranya isu Korea Utara dapat diselesaikan, ia mendatangkan kebaikan kepada rantau ini dari segi keamanan dan keselamatan.

Dalam pertemuannya dengan Mohamed, katanya, beliau telah dimaklumkan perkembangan terkini tentang isu Korea Utara serta Iran dan menyifatkannya masih terdapat ‘cahaya di hujung terowong’.

Bagaimanapun jelas beliau, semua pihak terlibat perlu bekerja keras bagi memastikan satu penyelesaian jangka masa panjang dan memuaskan hati semua pihak dicapai.

‘‘Beliau (Mohamed) juga merasa gembira dengan Iran apabila negara itu telah menunjukkan persetujuan bagi berhubung dengan IAEA dan sepakat menyatakan perlu ada perbincangan secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Wednesday, July 18, 2007

Laut Dicemari Radioaktif


TIDAK SELAMAT: Gambar menunjukkan kepulan asap hitam
di loji nuklear Kashiwazaki Kariwa selepas gempa bumi
melanda, kelmarin. Pegawai mendedahkan ancaman terbaru iaitu
kebocoran radioaktif di loji berkenaan, semalam.

Loji nuklear terbesar dunia lapor bocor selepas gempa bumi

KASHIWAZAKI: Pegawai di loji nuklear terbesar dunia mengakui lebih banyak kebocoran radiasi berlaku selepas dilanda gempa bumi menyebabkan sembilan orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk dipindahkan.

Pada awalnya, firma Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata, gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter itu tidak menyebabkan sebarang kebocoran sebaliknya hanya alat transformer terbakar dan segera dipadamkan apinya.

Bagaimanapun, TEPCO kemudian membuat pengakuan bahawa 1,200 liter air radioaktif memasuki laut dari lojinya di Kashiwazaki-Kariwa, Niigata.

Ini disusuli pendedahan dalam sidang akhbar oleh seorang pegawainya bahawa pemeriksaan mendapati 100 daripada 22,000 tong sisa nuklear TEPCO jatuh dan penutupnya terbuka.

Syarikat itu juga mengakui, sedikit bahan radioaktif – cobalt-60, iodin dan kromium-51, dilepaskan ke udara.

Seorang pegawai Kementerian Perdagangan berkata, ia terlalu kecil untuk merosakkan alam sekitar.

Bagaimanapun, pendedahan TEPCP menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan nuklear di negara itu yang banyak bergantung kepada kuasa atom serta mengingatkan semula kepada kejadian menyembunyikan fakta sebenar.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa gempa bumi yang memenuhi pusat pemindahan, bimbang banjir lumpur dan gegaran susulan.

Gempa bumi yang berlaku pagi kelmarin di luar pantai Niigata merobohkan 300 bangunan dan menjejaskan sistem pengangkutan.

Mangsa gempa memenuhi kawasan gimnasium sekolah dan pusat komuniti sentiasa mengawasi keadaan awan kerana bimbang berlaku hujan lebat dan menyebabkan tanah runtuh.

Ribut dan banjir dijangka berlaku di kawasan gempa meningkatkan lagi kemungkinan gegaran kecil dan tanah runtuh sehingga boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan, kata pegawai.

Hujan melebihi enam sentimeter dijangka berlaku awal pagi ini di Kashiwazaki di kawasan selatan pusat gegaran, kata pihak berkuasa tempatan.

“Kerosakan lebih daripada apa yang kita bayangkan,” kata Datuk Bandar Kashiwazaki, Hirsohi Aida ketika memeriksa kerosakan di bandar terbabit. – Reuters/AP

Hishammuddin Minta Guru Sabar

(Sumber : Berita Harian Online 18/7/07)
Oleh Shamsul Kamal Amarudin


Kementerian dengan kerjasama JPA, SPP tangani masalah 8,000 guru DGA41

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelajaran akan menggunakan ‘pendekatan khas’ bagi menangani masalah guru bukan siswazah yang mendakwa menerima gaji lebih rendah apabila dinaikkan ke gred DGA41 selepas menamatkan pengajian pada peringkat ijazah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk menangani masalah 50,000 guru terbabit.

Beliau meminta semua guru terbabit bersabar kerana isu itu memerlukan perbincangan dan penelitian oleh ketiga-tiga pihak berkaitan serta tidak mungkin dapat diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Isu ini agak unik kerana ia hanya berlaku terhadap segolongan guru yang berada dalam tempoh peralihan iaitu daripada skim diploma kepada skim siswazah, justeru memerlukan pendekatan unik juga untuk diselesaikan.

"Kita tidak pernah menolak keinginan guru yang ingin terus belajar dan bagi mereka yang sudah memperoleh kejayaan lebih besar, takkanlah kita mahu menidakkannya.

“Justeru, dakwaan mengatakan guru terbabit tertindas atau teraniaya selepas pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini, adalah tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Kelsom di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini dalam laporan khasnya menyiarkan kekecewaan guru yang berkhidmat hampir 10 tahun dan menyambung pelajaran pada peringkat ijazah mendapat gaji lebih rendah berbanding guru bukan graduan yang dinaikkan ke gred DGA32 secara ‘time based’ (tempoh masa) selepas 10 tahun perkhidmatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, dilaporkan berkata kira-kira 50,000 guru dilantik dalam skim DGA41 (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah) menerima gaji jauh lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajarannya tetapi mendapat kenaikan gred secara ‘time based,’ sedangkan tempoh perkhidmatan kedua-duanya sama.

Hishammuddin berkata, maklumat yang beliau peroleh menunjukkan jumlah guru terbabit hanya 8,000 dan bukan 50,000 seperti dakwaan NUTP.

“Walaupun bilangannya tidak sebesar yang didakwa NUTP, kita tetap prihatin dan meneliti kaedah terbaik agar masalah teknikal itu dapat ditangani,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya membuat keputusan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sudah ditempatkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dikekalkan sementara waktu sehingga keputusan muktamad berhubung kedudukan mereka dapat dicapai.

“Saya prihatin dengan rayuan NUTP dan kerajaan membuat keputusan kemasukan pegawai PTD ke Kementerian Pelajaran ditangguhkan sementara waktu,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan NUTP menolak sama sekali langkah Kementerian Pelajaran meletakkan pegawai PTD bagi semua gred dalam JPN.

Tuesday, July 17, 2007

Hasil Organik


(Sumber : Berita Harian Online, 17/7/07)

SOM patut digunakan sebagai piawaian untuk elak petani dakwa keluar produk guna kaedah semula jadi

KIRA-KIRA 20 tahun lalu, ramai mengerut dahi apabila mendengar istilah pertanian organik. Hari ini, kaedah pertanian ini bukan saja dikenali malah ada kedai khusus menjual produk pertanian organik.

Sejak diperkenalkan 1987, perkembangan pertanian organik di Malaysia amat perlahan. Pada 2001, hanya ada 131 hektar kawasan pertanian organik. Bagaimanapun keluasan kawasan pertanian organik meningkat mendadak hingga 2,367 hektar tahun lalu.

Pakar pertanian melihat peningkatan permintaan terhadap produk pertanian organik mempunyai kaitan rapat dengan kemajuan negara, terutama dari segi perubahan gaya hidup, kemahuan dan cita rasa penduduk.

Jika dulu, makan sayur dianggap baik untuk kesihatan, tetapi anggapan itu tidak lagi diterima sepenuhnya kerana amalan penggunaan racun perosak secara berleluasa menimbulkan risiko bahaya terhadap kesihatan manusia.

Ini diakui Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Sofian Mohd Salleh, yang berpendapat perkembangan pesat pertanian organik adalah hasil kesedaran pengguna untuk mendapatkan makanan yang bukan saja sedap, tetapi selamat.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Aini Zakaria, berkata penggunaan bahan kimia dalam pertanian konvensional menyebabkan tanah berasid dan keupayaan memegang air menurun, selain memusnahkan mikrob organisme yang bermanfaat kepada tanaman.

Katanya, pertanian organik seboleh-bolehnya mahu bergantung kepada alam semula jadi dengan mikrob organisme membekalkan nutrien kepada tanaman.

“Penggunaan bahan kimia, sama ada baja atau racun menyebabkan bahan ini larut dalam tanah dan apabila hujan, dibawa arus air dan menjadi sumber pencemaran.

“Petunjuk pencemaran dapat dilihat apabila projek pertanian dijalankan di atas bukit, kawasan bawah bukit kehijauan menunjukkan nitrat banyak di situ. Nitrat yang memasuki sungai boleh menjejaskan hidupan sungai,” katanya.

Bagaimanapun, pertanian organik menghadapi beberapa cabaran, terutama dari segi ketulenan produk organik yang dijual di pasaran.

Antara kebimbangan utama ialah keghairahan pengguna mendapatkan makanan selamat mendorong pengeluar produk bukan organik atau tidak memenuhi piawaian organik berlumba-lumba melabelkan produk masing-masing dengan nama organik.

Ini juga didorong harga produk organik lebih mahal. Sesetengah jenis sayur-sayuran organik seperti kacang panjang berharga RM12 sekilogram, berbanding RM2.60 dari ladang konvensional.

Ketika ini, sesiapa pun boleh mendakwa mengeluarkan produk organik walaupun kaedah yang digunakan tidak sepenuhnya organik.

Antara kaedah pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan racun kimia kepekatan rendah untuk membunuh serangga kerana lebih menjimatkan, berbanding kaedah organik yang lebih rumit.

Persijilan Skim Organik Malaysia (SOM) yang diperkenalkan Jabatan Pertanian adalah jawapannya kerana mengenakan syarat sebelum sesebuah ladang boleh mengaku mengeluarkan produk organik.

SOM adalah berasaskan Malaysian Standard MS 1529:2001 serta dua standard antarabangsa, iaitu IFOAM (Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa) dan Standard Codex FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Piawaian SOM menggariskan keperluan berkaitan pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan penjualan yang bertujuan memastikan produk organik di pasaran dikeluarkan mengikut kaedah dan standard ditetapkan.

Berdasarkan standard yang ketat, hanya tujuh dari 70 ladang yang mengemukakan permohonan mendapat persijilan SOM sejak diperkenalkan pada 2004.

Bagaimanapun SOM belum diwajibkan di Malaysia menyebabkan ladang yang mempunyai SOM perlu bersaing dengan pengeluar lain yang kaedah pertanian organik tidak diketahui.

Ketika ini, setiap pasar raya yang membeli produk organik dari ladang mempunyai cara masing-masing untuk menentukan ketulenan produk yang dibeli dan mengabaikan SOM yang sepatutnya menjadi standard.


> Ponak Plantation dapat pengiktirafan, sijil SOM

IMPIAN Pengerusi Eksekutif Ponak Plantation Sdn Bhd, Roslan Md Darus, ialah dalam tempoh beberapa tahun lagi, produk organik yang kini hanya dibeli golongan berada mampu dibeli semua peringkat rakyat.

Anak jati Kuala Pilah itu menceburi pertanian organik secara komersial pada 2002 walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, apatah lagi organik yang masih baru di negara ini.

Selepas tujuh tahun, ladang organik di kawasan lembah Kenaboi, Jelebu, mula membuahkan hasil dan dijual di pasar raya hiper seperti Carrefour, Tesco dan Jaya Jusco seluruh negara.

Roslan, 48, berkata dia memilih tanaman organik kerana daripada pemerhatiannya mendapati ramai orang mati kerana makanan yang dimakan setiap hari tidak lagi selamat akibat penggunaan racun dan bahan kimia.

“Di Eropah dan Jepun, pertanian konvensional semakin ditinggalkan dan jika diamalkan, adalah separuh organik,” katanya.

Berbekalkan kesedaran itu dan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Roslan memajukan 28 hektar kawasan hutan yang dibalak dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan kini berusaha meningkatkan pengeluaran di kawasan seluas 40 hektar.

Katanya, kos infrastruktur peringkat awal adalah tinggi dengan kemudahan pengairan saja menelan belanja RM8 juta.

“Perancangan Ponak Plantation ialah memajukan kawasan 161 hektar dengan sayur-sayuran, buah-buahan, penternakan, termasuk ikan air tawar yang menggunakan kaedah organik,” katanya.

Katanya, antara keistimewaan Ladang Ponak ialah sumber air dari kawasan bukit yang tidak tercemar.

Kini Roslan boleh berbangga kerana ladang organik itu adalah antara tujuh ladang organik di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Skim Organik Malaysia (SOM).

Malah kepakaran Ponak Plantation mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memintanya menguruskan tanaman organik di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Roslan berkata, sayur organik dimakan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, yang ketika itu menghidap barah payudara.

Sementara itu Pengurus Ponak Plantation, Rosli Mansor, berkata selepas bantuan awal Jabatan Pertanian, syarikat membuat penyelidikan sendiri, terutama membuat kompos dan teknik melawan serangan serangga perosak.

Katanya, walaupun ada panduan membuat kompos, tetapi cabarannya adalah untuk menghasilkannya kerana sukatan yang tidak tepat menyebabkan hasil tidak menepati sasaran. Keadaan yang sama membabitkan membuat racun organik.

“Lokasi ladang berhampiran hutan menyebabkan pelbagai jenis serangga perosak datang. Kami menggunakan pelbagai cara seperti menanam pokok jagung yang bunganya menarik serangga yang membunuh serangga perosak.

“Kelambu juga dipasang dan ini berjaya mengurangkan tanaman dirosakkan serangga,” katanya.

FTA : Amerika Syarikat Sedia Bertolak Ansur

(Sumber : Berita Harian Online)

Washington cuba penuhi kehendak Malaysia berkaitan isu sensitif

AMERIKA Syarikat (AS) menyatakan kesediaan untuk bertolak ansur dengan cuba memenuhi kehendak Malaysia berhubung beberapa isu sensitif bagi membolehkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara dapat dimuktamadkan.

Penolong Wakil Perdagangannya, Barbara Weisel, berkata pihaknya memahami dan bersedia bertolak ansur berhubung kehendak Malaysia, terutama berkaitan pembukaan kontrak kerajaan kepada syarikat AS yang dianggap sensitif bagi negara ini.

“Kami yakin dapat menyelesaikan isu pembukaan kontrak kerajaan itu, iaitu satu perkara sensitif yang menjadi kebimbangan di pihak Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, jika isu sensitif itu diselesaikan, ia akan melancarkan lagi proses rundingan bagi membolehkannya dimuktamadkan pertengahan tahun depan.

Selain pembukaan kontrak kerajaan, isu sensitif lain yang sebelum ini menjadi faktor penyebab kebuntuan rundingan FTA antara AS dan Malaysia termasuk pelaburan dan pembukaan sektor kewangan.

Weisel menegaskan, rundingan antara kedua-dua negara ke arah memuktamadkan FTA itu yang bermula sejak lebih daripada setahun lalu kini berjalan lancar apabila kedua-dua belah pihak kini bersikap lebih terbuka dan bertolak ansur.

“Kedua-dua belah pihak menyatakan komitmen untuk menyelesaikan rundingan itu secepat mungkin. Wujud peluang ke arah itu dan kami tidak mahu melepasi sehingga suku kedua tahun depan,” katanya.

Weisel yang berada di Kuala Lumpur bagi mengadakan pertemuan dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kedua-dua belah pihak sudah mencatatkan banyak kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan kemajuan rundingan dan sedang cuba mempercepatkan proses memuktamadkannya dan masing-masing kini lebih memahami keperluan pihak yang satu lagi,” katanya.

Weisel berkata, kedua-dua belah pihak belum menetapkan tarikh baru bagi pusingan seterusnya tetapi menjangkakan ia akan diadakan akhir tahun ini.

Washington dan Kuala Lumpur bersetuju meneruskan semula rundingan FTA itu pada April setelah gagal memuktamadkan rundingan itu 31 Mac lalu berikutan keengganan Malaysia membuka sektor pemerolehan kontrak kerajaan kepada lebih banyak syarikat dari AS.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata rundingan FTA antara Malaysia dan AS masih diteruskan tetapi dalam kumpulan yang lebih kecil dan bukan delegasi besar seperti sebelum ini.

“Kami mencapai persetujuan bagi beberapa bahagian dan ada juga bahagian yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut yang kebanyakannya pada peringkat teknikal,” katanya apabila ditanya mengenai perkembangan rundingan FTA semasa sesi soal jawab pada satu seminar perniagaan di Seoul, semalam.

Rafidah berkata, FTA Malaysia-AS sepatutnya saling memberi faedah kepada kedua-dua negara.

“FTA itu perlu memberi faedah kepada kedua-dua negara, barulah kita boleh melaksanakannya,” katanya.

AS adalah rakan dagang dan pasaran eksport terbesar negara. Tahun lalu, nilai eksport Malaysia ke negara itu berjumlah RM110.6 bilion, merangkumi 18.8 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.

Dari segi pelaburan pula, AS adalah sumber pelaburan asing tertinggi negara dalam sektor pembuatan yang mana antara 2000 dan 2006 nilai pelaburannya adalah RM24.4 bilion.

Pada 2006, pelaburan AS di Malaysia bernilai RM2.5 bilion.