Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Wednesday, August 8, 2007

Aspirasi: Sejarah penjajahan asing jadi iktibar

Bersama Radzi Latif

Semangat patriotisme generasi muda pastikan kemerdekaan negara berkekalanSELEPAS memasuki bulan kemerdekaan ini, kemeriahannya semakin dirasakan. Selain media massa menyemarakkan semangat kemerdekaan, rakyat juga menghayati erti kemerdekaan dengan cara tersendiri. Dijangkakan menjelang malam 31 Ogos nanti, pelbagai program diatur bagi memeriahkan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.Bagi kanak-kanak, ada antara mereka meniru laungan bersemangat ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ seperti mereka lihat di televisyen dan dengar di corong radio. Ini adalah satu perkembangan sihat. Walaupun tidak memahaminya, apatah lagi menjiwai erti kemerdekaan itu, anak kecil ini tidak jemu-jemu melaungkan kata-kata semangat ‘Merdeka’ sambil mengangkat tangan seolah-olah meniru gaya Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Mereka mungkin dapat menjangkakan negara sedang meraikan sesuatu perayaan, seperti mereka gembira ketika kedatangan Aidilfitri bagi umat Islam, Tahun Baru Cina bagi kaum Cina dan Deepavali bagi masyarakat India. Bagi sesetengah anak kecil itu, ibu bapa mereka pun belum dilahirkan pada 31 Ogos 1957 ketika laungan kemerdekaan bergema di seluruh negara.Tidak kurang juga, ramai generasi berusia dalam lingkungan 50-an hari ini masih kecil ketika negara menyambut kemerdekaan – hari yang menandakan Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah. Hanya mereka berusia 60-an ke atas, mungkin dapat menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana mereka hidup dalam dua zaman – zaman penjajah dan zaman kemerdekaan.

Bagi mereka berusia 70-an ke atas pula, kemerdekaan adalah satu rahmat kerana mereka pernah mengalami keperitan hidup pada zaman penjajah Inggeris. Bagi mereka, rahmat yang dikurniakan Allah perlu ditatang dan dijaga agar berkekalan. Perkara yang membimbangkan ialah apabila golongan ini beransur-ansur hilang di muka bumi Malaysia, yang akan membawa sekali semangat cintakan negara yang begitu menebal di jiwa mereka.Hari ini kita hanya ada mereka yang pernah hidup pada zaman penjajah Inggeris yang boleh menceritakan pengalaman hidup mereka ketika dijajah, tetapi tidak bagi mereka yang pernah hidup pada zaman Belanda dan Portugis kerana ia adalah sejarah penjajahan lebih awal. Apa pun, semangat cintakan negara tidak harus dibiarkan mati walaupun generasi baru mengambil alih tempat generasi sebelumnya. Kita mahukan mereka menghayati kemerdekaan agar tidak mudah melepaskan pemerintahan negara ini kepada kuasa asing apabila mengurus dan mentadbir negara kelak. Itulah sebabnya sambutan hari kemerdekaan ini diadakan setiap tahun bagi mengingatkan generasi baru bahawa Malaysia pernah sengsara ketika di bawah pentadbiran penjajah. Menoleh ke belakang sejarah negara bermula dari zaman Kesultanan Melaka, ia bertali arus menerusi pelbagai perkembangan hinggalah hari ini. Generasi baru dalam alaf ketiga ini tentulah sukar menghayati keadaan ini pada zaman penjajahan. Membaca menerusi buku sejarah tentulah tidak sama dengan menghayati kehidupan pada zaman silam. Di bumi Melayu ini, sejarah penjajahan bermula apabila Melaka ditawan Portugis pada 1511. Ini adalah peringkat awal cubaan penjajah untuk menghapuskan sejarah Melayu. Lihat sajalah selepas Portugis berkuasa, mereka merobohkan istana yang dibina kerajaan Melaka. Sebaliknya, Portugis membina kota A Famosa sebagai lambang kebesaran penjajah di samping menjadikan kota itu sebagai benteng pertahanan Portugis daripada serangan penjajah lain atau golongan yang mereka sifatkan sebagai musuh mereka. Di manakah letaknya maruah orang Melayu ketika itu apabila mereka berjuang untuk menawan semula bumi yang mereka miliki ini daripada penjajah dianggap musuh negara oleh penjajah. Begitulah pantasnya penjajah cuba mengubah corak pemerintahan Melaka ketika itu. Jika dianalisis, orang Melayu sebenarnya sudah mengenal erti perpaduan ketika itu apabila mereka berasa terhimpit. Bergerak dengan slogan bersatu teguh, bercerai roboh, orang Melayu Melaka ketika itu dibantu angkatan dari Johor, Perak, Aceh, Japara dan sebagainya berusaha menawan semula Melaka, tetapi percubaan mereka menembusi kubu Portugis gagal. Senjata yang dikuasai penjajah jauh lebih besar dan canggih daripada orang Melayu yang mengharapkan keris, tombak dan lembing. Percubaan demi percubaan mengusir Portugis tidak kesampaian. Hanyalah pada 1641, Portugis tumpas di tangan Belanda, yang ketika itu bertapak di Jawa, untuk meluaskan tanah jajahannya. Belanda merampas Melaka dengan pertolongan orang Melayu, yang bermakna Melaka tetap terus dijajah kuasa asing – dari Portugis kepada Belanda. Inggeris pula memulakan cengkamannya di Tanah Melayu apabila Francis Light menerusi Syarikat Hindia Timur menduduki Pulau Pinang pada 1786. Inggeris sudah bertapak di Tanah Melayu sejak 1730-an apabila mendarat di Kuala Selangor, Linggi, Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu meskipun ditentang penduduk. Pada 1791 ada percubaan mengambil semula Pulau Pinang, tetapi gagal.Banyak perkembangan yang dilalui dalam konteks hubungan Malaysia dengan Inggeris. British menggunakan pelbagai cara dan tipu helah supaya diterima rakyat negara ini. Oleh itu, satu demi satu perjanjian dimeterai yang kebanyakannya memihak kepada kepentingan mereka. Antara perjanjian yang ditandatangani antara British dan negara ini termasuk membabitkan raja-raja ialah Perjanjian Burney, 1826, Perjanjian Pangkor 1874, Perjanjian Selangor 1874, Negeri Sembilan 1895, Sarawak 1841 membabitkan James Brooke dan Perjanjian Bangkok 1909 yang membabitkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.Mereka mahu mengaut hasil bumi negara ini yang kaya dengan bijih timah dan getah. Itulah sebabnya pada 1874, Inggeris menggunakan pelbagai alasan untuk menguasai Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Perjanjian Pangkor 1874 antara Inggeris dengan Sultan Perak jelas menunjukkan penjajahan Inggeris secara langsung ke atas Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.Setahun kemudian, negeri Melayu terpaksa menerima Residen Inggeris. Residen Inggeris pertama ialah Frank Swettenham yang kemudian dilantik sebagai Residen General Inggeris pertama di negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang. Semua ini menunjukkan kuasa raja-raja Melayu dirampas British. Penjajahan Inggeris dilaksanakan menerusi Sistem Residen. Walaupun menerusi sistem ini Raja dan Sultan Melayu dikekalkan, mereka tidak diberi kuasa. Apa yang nyata, penjajahan Inggeris selama 83 tahun menyebabkan orang Melayu tidak lagi berkuasa memerintah negeri sendiri. Orang Melayu menjadi pak turut dan tidak boleh melakukan apa juga perkara yang bertentangan dengan kehendak British. Walau pun ada antara orang Melayu diletakkan dalam Majlis Pentadbiran Kolonial, bilangan mereka terhad. Jika ada pun kebaikan yang tercetus daripada perkembangan itu ialah semangat orang Melayu mula membara. Mereka bukan saja marah kepada Inggeris, tetapi benci.Kebencian yang meluap-luap inilah menyebabkan Residen Inggeris pertama di Perak, JWW Birch dibunuh di Pasir Salak pada November 1875. Kesannya, Inggeris mengubah sikap terhadap orang Melayu selepas menyedari orang Melayu sanggup menggunakan kekerasan untuk menentang mereka. Antara penentang British yang kita anggap pejuang bangsa hingga hari ini ialah Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Imam Rasu, Mat Kilau, Raja Mahadi, Tok Janggut. Ngah Ibrahim, Dol Said, Datuk Siamang Gagap, Haji Abdul Rahman Limbong dan Mat Saleh. Ini mungkin boleh dianggap ringkasan daripada sejarah penjajah tanah Melayu dari zaman Portugis hinggalah ke zaman Inggeris yang turut diselang-seli dengan pendudukan Jepun dan perjuangan menentang komunis. Hakikatnya, ia mengambil masa ratusan tahun. Tetapi, disebabkan Inggeris menjadi penjajah terakhir di negara ini, kesan dan pengaruh penjajahan mereka masih kuat. Sebenarnya, semangat membebaskan negara ini daripada British dicetuskan pejuang Umno. Orang Melayu ketika itu mahu bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaya dikibarkan. Jika Umno tidak diwujudkan ketika itu, mungkin negara ini belum mengenal erti kemerdekaan hingga hari ini. Hanya selepas British yakin bahawa rakyat mampu menguruskan negara ini, barulah terbuka fikiran mereka untuk memberi kemerdekaan kepada negara ini selepas Umno, MCA dan MIC menunjukkan kesepakatan yang mahukan British pulang ke negara mereka.Usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam memerdekakan negara ini dianggap jasa amat besar kepada bangsa dan negara. Namun, kemerdekaan tidak bererti negara ini akan terus terjamin untuk selama-lamanya. Masih banyak ranjau dan duri yang perlu ditempuhi demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

Monday, August 6, 2007

Kamera digital tujuh aplikasi multimedia

i70 dengan reka bentuk menarik.MUNGKIN sukar untuk mempercayai bahawa alat sebesar tapak tangan yang diketengahkan Gajet kali ini mampu mengendalikan tujuh fungsi multimedia berlainan di sebalik saiznya yang kecil.

Menyedari pengguna kini semakin bijak membelanjakan wang untuk mendapatkan alat yang sempurna, Samsung mendahului pesaingnya apabila ia menggabungkan tujuh aplikasi multimedia paling popular dalam produknya.
i70 berbilang fungsi ini disokong tujuh fungsi multimedia, iaitu Kamera Perakam Video, Kamera Perakam Imej, Pemain MP3, Pemain Multimedia Mudah Alih, Pembaca Teks, Perakam Suara dan Cakera Mudah Alih.Penulis begitu teruja apabila pertama kali diberi peluang mengendalikan kamera digital ini yang dilengkapi kemasan anggun corak klasik zaman Victoria dengan empat pilihan warna.Diselaputi rangka badan keluli tahan karat serba mewah, i70 menawarkan pilihan warna emas, merah jambu, hitam dan perak dengan setiap satunya melambangkan gaya hidup dan personaliti pemiliknya.Dengan paparan cecair kristal (LCD) seluas 3 inci, Samsung i70 memberikan imej lebih lebar dan jelas sehingga 7.4 megapiksel, sekali gus memberikan kepuasan kepada pemiliknya untuk merakam detik-detik bermakna.Model ini kelihatan bertambah elegan kerana dilengkapi penutup gelungsur yang menyembunyikan kekunci digital di sisinya sekali gus menyerlahkan reka bentuk kamera ini. Apabila mula menggunakan kamera ini untuk merakam gambar, anda akan mendapati ‘kuasa’ rakaman yang mantap kerana model ini mempunyai jarak fokus yang baik, setanding dengan pesaingnya yang lain.Penulis ‘mendaki’ Menara Kuala Lumpur yang terletak di tengah ibu kota bagi mendapatkan sudut rakaman sempurna.Ternyata, model ini tidak menghampakan kerana mampu menghasilkan rakaman pada jarak kira-kira 500 meter dengan baik.i70 ini serasi dengan Microsoft Windows Vista, dengan menyediakan Antara Muka Pengguna Grafik (GUI) dinamik, sekali gus membolehkan anda memindahkan imej, video, teks atau MP3 secara terus kepada atau daripada komputer peribadi. Menariknya, model ini dilengkapi fungsi ‘Fun’ yang membolehkan anda memberi sentuhan hiasan kepada rakaman imej yang diambil, sekali gus menjimatkan masa untuk melakukannya pada komputer peribadi.Sebagai contoh, anda mungkin pernah melihat rakaman foto studio yang memaparkan ‘wallpaper’, sekali gus menyerlahkan imej dirakam.Model ini menyediakan pelbagai pilihan ‘wallpaper’ yang dapat mencantikkan lagi imej yang dirakam untuk dikongsi bersama keluarga dan rakan. Dengan ikon pada LCD yang bergerak mengikut operasi butang, anda boleh menguasai penggunaan fungsi multimedia yang ada pada kamera ini dengan mudah. Sebagai contoh, peranti ini berupaya menjadi teman penghibur melalui ruang simpanan fail multimedia seperti klip video dan MP3 melalui storan luar yang mencecah 2GB. Dengan ruang simpanan yang besar ini, anda mampu memuatkan kira-kira 100 lagu pada satu-satu masa atau kira-kira 30 klip video.Dilengkapi teknologi Codex dan SRS WOW HD serta teknologi audio 3D yang terkemuka dunia, i70 membolehkan anda menikmati kualiti audio 3D yang sangat mengagumkan.Bagaimanapun, jika anda mahu menikmati alunan lagu secara peribadi, model ini dilengkapi fon telinga bagi membolehkan anda berhibur ketika dalam perjalanan jauh.Anda yang berminat dalam bidang kewartawanan bergambar tidak perlu gusar jika tidak mempunyai kertas catatan kerana model ini dilengkapi fungsi multimedia yang membolehkan anda menulis teks, sama seperti fungsi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang terdapat pada telefon bimbit. Bagi penulis yang sering keluar mencari bahan berita, model ini turut membantu kerana mempunyai fungsi rakaman suara yang sama seperti pita rakaman.Anda pula mungkin boleh menggunakan fungsi ini untuk merakamkan suara ketika berkaraoke.Mula menjengah pasaran tempatan pertengahan tahun ini, i70 dijual pada harga sekitar RM1,200.