Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Monday, July 30, 2007

Pelaburan RM177b diperlukan untuk bangunkan NCER

ALOR STAR 30 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, inisiatif untuk membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memerlukan pelaburan sebanyak RM177 bilion mulai hari ini hingga tahun 2025.
Beliau berkata, sebanyak satu pertiga daripada jumlah pelaburan itu dianggarkan datang daripada kerajaan, manakala dua pertiga daripada pelaburan swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Pihak kerajaan akan memulakan pelaburan tersebut bagi menyediakan persekitaran sosioekonomi yang sebaik mungkin, yang dijangka akan disambut oleh pihak swasta, seterusnya dengan pelaburan-pelaburan komersial,” katanya semasa melancarkan Rangka Tindakan NCER di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Rangka tindakan itu adalah untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan tahap pendapatan di Koridor Utara yang mempunyai kira-kira 4.29 juta orang dalam tempoh lebih 20 tahun.
Program pembangunan Koridor Utara itu dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai kawasan untuk melahirkan pembangunan ekonomi negara secara seimbang dan sama rata.
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah ialah antara yang hadir.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ialah antara yang turut hadir.
Keempat-empat negeri itu terangkum dalam Koridor Utara.
Juga hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, dalam ucapannya berkata, untuk fasa permulaan, program-program yang dikenal pasti akan melibatkan pertambahan sebanyak RM5 bilion oleh kerajaan di atas peruntukan yang sedia ada.
“Kerajaan bercadang untuk menyediakan pelaburan ini melalui kajian semula program-program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), serta penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9 nanti,” katanya.
Abdullah berkata, fokus seterusnya adalah untuk melaksanakan apa yang telah dirancang menerusi penubuhan sebuah badan pelaksana dan penyelarasan yang mempunyai wakil kerajaan pusat serta kerajaan-kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan badan itu bersama-sama dengan Menteri-menteri Besar Kedah, Perlis dan Perak serta Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya, konsep koridor utara itu adalah berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama.
Perdana Menteri berkata: “Setiap negeri mempunyai kekuatannya tersendiri. Jika digabung, kekuatan ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat kepada semua rakyat utara berbanding bekerja secara bersendirian.”
Abdullah berkata, inisiatif Koridor Utara itu terdiri daripada program dan pendekatan yang bertujuan untuk merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan itu bagi kesejahteraan rakyat tempatan.
Sementara itu, pembangunan yang dijalankan adalah berteraskan arus pasaran dan perdagangan, supaya kawasan utara tidak ketinggalan dalam era globalisasi, katanya.
Abdullah berkata, matlamat pembangunan ini “mengharuskan perubahan minda mengenai potensi negeri-negeri dan daerah-daerah utara” dan inisiatif Koridor Utara itu berbeza daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor kerana ia meliputi kawasan yang lebih luas, serta mempunyai ciri-ciri penduduk yang berbeza.
“Peluangnya berbeza, dan cabaran-cabarannya juga berbeza. Contohnya, statistik terkini menunjukkan kadar kemiskinan di Kedah dan Perlis lebih tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara,” katanya.
Abdullah berkata, Wilayah Utara juga mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih rendah daripada pendapatan purata negara, dan dengan itu, sasaran Koridor Utara harus menjurus kepada transformasi sosioekonomi masyarakat berbanding dengan Wilayah Pembangunan Iskandar yang berteraskan pertumbuhan bandar.
Namun begitu, falsafah asasnya adalah sama iaitu untuk menambah nilai kepada sektor-sektor di luar bandar, industri-industri bandar dan kepada modal insan, katanya.
“Budaya tambah nilai ini adalah penentu masa hadapan Koridor Utara iaitu kunci kejayaan yang perlu kita kejar dan terapkan dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau menambah, falsafah tambah nilai ini amat penting untuk menutup jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, selain itu, ekonomi luar bandar harus dilonjakkan ke tahap yang moden, mampan dan menguntungkan di mana sektor pertanian luar bandar terutamanya, harus ditransformasi kepada “pertanian baru”.
Peluang-peluang harus dibuka untuk sektor swasta melabur di dalam ekonomi luar bandar supaya teknik-teknik moden dan pengetahuan pasaran dapat disebarkan kepada para pengusaha desa, katanya.
Perdana Menteri berkata, selain itu, pelaburan sektor swasta juga akan memastikan bahawa projek-projek dijalankan pada skala yang komersial dan bagi membuka peluang-peluang ini, beberapa program khas akan dijalankan.
Abdullah berkata, satu daripada program utamanya ialah untuk menggalakkan penggabungan tanah supaya penanaman, pemeliharaan dan penuaian tanaman dapat dijalankan secara moden dan komersial.
Aspek-aspek pengurusan ini akan diterajui oleh syarikat swasta tanpa menggugat kedudukan hak milik tanah, di mana pemilik tanah akan berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih tinggi hasil daripada pulangan pertanian yang berskala besar, moden dan mengikut pasaran, katanya.
Malah, para pemilik tanah dan petani juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah baru, umpamanya dengan menjadi petani kontrak kepada syarikat swasta tersebut.
Beliau berkata, pertanian berskala besar dan komersial akan membolehkan pengembangan sektor hiliran pertanian serta pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS) asas tani.
Abdullah berkata, selain itu, aktiviti mengumpul, memproses dan menjenama produk-produk pertanian akan digalakkan untuk meningkatkan nilai tambah kepada sektor pertanian.
Sebagai contoh, pengurusan tanah padi secara estet akan membolehkan pengembangan industri-industri hiliran padi seperti pembuatan produk makanan, minuman, kosmetik serta farmaseutikal, malah hasil pengeluaran padi, termasuk bahan buangan serat padi, mampu dijadikan produk yang bernilai, katanya.
Beliau berkata, langkah-langkah ini juga akan disokong oleh program-program untuk meningkatkan tahap inovasi dan kemahiran dalam bidang pertanian di mana pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Fakulti Pertanian akan ditubuhkan bersama dengan sektor swasta untuk memantapkan sektor-sektor pertanian yang khusus kepada Koridor Utara.
Perdana Menteri berharap program itu dapat melahirkan generasi profesional tani baru bagi Koridor Utara di mana penglibatan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam pertanian dan perniagaan adalah amat penting bagi masa hadapan ekonomi luar bandar.
“Saya ingin melihat generasi baru luar bandar yang tidak perlu berhijrah ke bandar untuk peluang pekerjaan, yang mampu berbudi kepada bumi dengan cara-cara yang moden dan berteknologi.
“Ini merupakan satu perubahan arus yang akan menukar wajah dan rupa kawasan desa,” katanya. - Bernama

Tuesday, July 10, 2007

Peniaga Bumiputera Di KLCC Makin Tertekan

(Sumber : Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kira-kira 12 peniaga bumiputera di Suria KLCC kini semakin tertekan apabila pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal itu menaikkan sewa tapak lebih 50 peratus setiap tiga tahun.

Selain itu, peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah oleh pihak pengurusan.

Pemilik premis Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah ketika dihubungi berkata, banyak tekanan diberikan oleh pihak pengurusan Suria KLCC yang bertujuan untuk mengusir mereka.

‘‘Mereka (Suria KLCC) memberi tekanan hebat dari segi kenaikan sewa yang tinggi dari tahun ke tahun serta arahan untuk mengubah konsep kedai.

‘‘Bebanan terutamanya dari segi kewangan terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh peniaga bumiputera yang menyewa premis di KLCC,’’ katanya.

Jelasnya, peningkatan kadar sewa sebanyak kira-kira RM15,000 setiap tiga tahun jelas menekan peniaga bumiputera di pusat beli-belah itu.

‘‘Bayangkan dari sewa sebanyak RM14,000 sebulan enam tahun lalu kini telah meningkat menjadi RM43,000 sebulan.

‘‘Apa yang jelas, sebuah restoran Korea khabarnya akan menggantikan tempat ini seandainya saya ‘mengalah’ dan berpindah keluar dari Suria KLCC,’’ ujarnya.

Juhaidi berkata, dia bercadang untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Bertindak Peniaga Bumiputera KLCC bagi membela nasib peniaga bumiputera yang masih bertahan di situ.

‘‘Saya berharap pihak tertentu yang bertanggungjawab tidak terlalu leka sehingga nasib peniaga bumiputera semakin tertindas dan lenyap dari bangunan milik kita sendiri,’’ jelasnya.

Dia juga kesal kerana pertemuannya dengan pihak pengurusan tertinggi Petronas untuk membincangkan perkara tersebut tidak mendatangkan sesuatu yang positif.

‘‘Sayangnya, aduan daripada seorang peniaga bumiputera yang bermasalah hanya dipandang mudah dan diserahkan kepada pengurus Suria KLCC yang bukan berasal dari negara ini untuk menyelesaikannya,’’ ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan tindakan pihak pengurusan pusat beli-belah Suria KLCC yang menaikkan kadar sewa sehingga 50 peratus sehingga membebankan pemilik premis bumiputera di kompleks tersebut.

Keadaan itu juga kini menyebabkan sebahagian besar peniaga bumiputera terpaksa menghentikan operasi mereka kerana tidak mampu untuk menanggung kos sewa yang terlampau tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kebanyakan peniaga bumiputera yang masih berniaga di situ takut untuk mengadu masalah yang dihadapi kepada pihak yang berkaitan.

Ini kerana mereka tidak mahu ‘periuk nasi’ terjejas ekoran setiap aduan yang dikemukakan menyebabkan pihak pengurusan pusat beli belah mencari alasan untuk memindahkan premis mereka ke lokasi baru yang didakwa tidak strategik.

Sementara itu, pihak pengurusan KLCC yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

3 Koridor Pembangunan Akan Dilancar

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kerajaan bakal melancarkan Wilayah Pembangunan Koridor Utara, Koridor Pantai Timur serta Koridor Pertumbuhan Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua bulan lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelan pembangunan di wilayah-wilayah berkenaan sudah hampir siap dan kini hanya memerlukan penelitian terakhir.

‘‘Saya menjangkakan pelan pembangunan ini dapat disiapkan tidak lama lagi,’’ katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perniagaan Meja Bulat Economist dan Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Pembentukan tiga wilayah koridor ekonomi itu dicadangkan dalam Bajet 2007 bagi mengurangkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar.

Pembangunan bagi Koridor Utara yang meliputi Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak Utara bakal diterajui oleh Sime Darby Bhd. manakala pembangunan Koridor Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang dijalankan oleh Petronas.

Menurut Perdana Menteri, pelan pembangunan itu kemudian akan dibentangkan kepada sultan-sultan dan yang dipertua negeri-negeri terbabit untuk mendapatkan perkenan mereka.

Abdullah berkata, pendekatan itu adalah prosedur sama yang dilakukan dalam pelan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Difahamkan, pelan pembangunan Koridor Utara akan dilancarkan pada akhir bulan ini.

Menurut Perdana Menteri, pembentukan koridor-koridor itu bertujuan menggunakan kekuatan sedia ada negeri-negeri terbabit melalui pengenalan langkah-langkah dan insentif bagi menggalakkan pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan kakitangan.

‘‘Kerajaan juga akan memberi perhatian khusus kepada produktiviti pertanian dan pembangunan luar bandar yang merupakan faktor dominan dalam ketaksamaan ekonomi,’’ katanya.