Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Friday, August 17, 2007

Belajar di 2 universiti serentak



Oleh Azman Mahmood


Dr Nik Norzrul Thani jadi pelayan restoran mamak di London biaya pengajian

MUNGKIN tidak ramai yang bertuah menjawat jawatan akademik yang tinggi di universiti dalam usia muda dan yang lebih penting, mampu melaksanakan tanggungjawab itu selaras dengan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan. Namun bagi Pengerusi IIUM Properties Sdn Bhd, Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, pengalaman itulah yang dilaluinya apabila dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada usia 27 tahun.

Pelantikan itu disifatkannya sebagai satu pengiktirafan besar kerana beliau tidak pernah terfikir akan dilantik ke jawatan itu dalam usia ‘mentah’ pada 1987. Sebelum itu beliau adalah Pensyarah Undang-undang di universiti itu.

“Saya sendiri tidak percaya apabila pengurusan UIAM melantik saya sebagai Timbalan Dekan Kuliah Undang-undang. Ini kerana, ketika itu usia saya baru 27 tahun dan boleh dikatakan masih mentah untuk menjalankan kerja sebagai Timbalan Dekan. Tetapi saya terima dengan penuh yakin tanggungjawab besar itu sejajar kepercayaan yang diberikan pihak UIAM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, baru-baru ini.

Walaupun memegang jawatan penting pada usia muda, apa yang dicapainya itu bukan disebabkan tuah semata-mata, sebaliknya kepintaran luar biasa dimilikinya yang membolehkan beliau mencapai kejayaan membanggakan dalam bidang akademik. Bekas pelajar Victoria Institutions (VI) Kuala Lumpur, Nik Norzrul berkata, pandangannya terhadap pelajaran adalah untuk berjaya dalam setiap kursus pengajian yang diambil demi masa depan diri dan keluarga.

Berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan, anak bekas Pengetua Maktab Sultan Ismail (MSI) di Kota Bharu, Nik Norzrul sedikit sebanyak mewarisi kebolehan bapanya, Nik Hassan Thani Wan Omar dalam bidang pendidikan. Ayahnya adalah seorang guru yang disegani ketika mengajar di MSI sekitar tahun 60-an.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah pada 1977 dengan muncul sebagai pelajar terbaik di VI beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perakaunan.

“Bagaimanapun, minat saya lebih kepada undang-undang dan kerana terlalu minat, saya bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke United Kingdom dalam bidang itu, sekali pun menggunakan perbelanjaan sendiri. Sebaik saja tamat belajar di ITM, saya bekerja di sebuah bank dan kemudian sebagai pembantu audit di sebuah firma perakaunan di Kuala Lumpur pada 1981. Ketika itulah saya menyimpan wang untuk memenuhi impian melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan undang-undang,” katanya.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, ketika bekerja di syarikat perakaunan itu, Nik Norzrul ditawarkan biasiswa Pernas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pemasaran profesional, Chartered Institute of Marketing di City Kolej United Kingdom.

“Jadi, saya ambil peluang itu untuk pergi ke London dengan matlamat serampang dua mata iaitu mengikuti kursus profesional dalam bidang pemasaran dan ijazah undang-undang,” katanya.

Waktu itulah, katanya bermula episod sukar mengikuti dua kursus dalam satu masa dengan pembiayaan pengajian ijazah undang-undang di Universiti Buckingham terpaksa ditanggung sendiri. Kerana tidak mahu membebankan keluarga, beliau cuba berdikari dengan melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan pengajian.

“Untuk kursus ijazah pemasaran, saya mendapat biasiswa Pernas, tidak ada masalah, tetapi bagi kursus undang-undang, saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan ayah yang menghantar wang setiap bulan. Saya sebenarnya seorang yang pemalu, tetapi kerana mahu mencari sumber kewangan untuk membiayai pengajian undang-undang, sifat itu saya ketepikan. Saya bekerja secara sambilan di kedai menjual buku terpakai dan menjadi pelayan di restoran mamak di kota London.

“Saya bekerja tiga atau empat hari seminggu iaitu selepas waktu belajar di sebelah petang. Saya mendapat kira-kira 15 pound seminggu hasil kerja sambilan di kedai buku yang berlanjutan selama empat bulan. Pada musim panas ketika cuti pengajian, saya mengambil kesempatan bekerja sebagai pelayan di restoran India,” katanya yang bersyukur dalam kepayahan belajar dua kursus dalam satu masa dan berulang-alik antara dua universiti setiap hari pagi dan petang, akhirnya mencapai kejayaan dengan memperoleh ijazah dalam bidang pemasaran dan undang-undang.

Walaupun kedua-duanya dilalui dengan kejayaan, bagaimanapun kata Nik Norzrul apa yang lebih mencabar ialah apabila beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti London dan mengambil Barrister at Law di Lincolns Inn pada 1985.

“Inilah saat paling mencabar apabila sekali lagi saya mengambil dua kursus dalam satu masa dalam tempoh setahun. Sekali lagi saya terpaksa berulang alik antara dua universiti setiap hari.

Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah kerana lulus kedua-duanya. Saya rasa seperti satu ‘keajaiban’ kerana boleh lulus. Ini kerana, jarang orang buat (kursus) bar dan sarjana dalam satu masa. Apa pun kejayaan saya ini adalah berkat sokongan dan semangat yang diberikan oleh ibu bapa dan seluruh keluarga saya,” katanya.

Menyambung kisahnya sebagai Timbalan Dekan Kuliah Undang-undang UIAM, Nik Norzrul berkata, beliau tidak lama menduduki jawatan itu kerana setahun kemudian, beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti London selama tiga tahun. Sungguhpun begitu, selama setahun menjadi Timbalan Dekan, beliau sempat mengikuti pengajian Diploma Undang-undang Syariah di UIAM.

“Ketika mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti London, antara orang yang banyak membantu saya, saling bertukar fikiran dan berbincang perkara berkaitan kursus pengajian ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga bekas Timbalan Rektor Universiti Sains Islam Malaysia, yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

“Saya sempat tinggal bersama beliau selama sebulan di rumah sewanya di London sebelum beliau pulang ke tanah air selepas selesai membuat PhD di Universiti Kent dalam kajian Perundangan Islam dan syariah. Saya dan rakan-rakan menganggap beliau (Abdullah) seperti ulama kerana beliau amat memahami mengenai hukum agama dan kalau ada majlis doa selamat, beliaulah mengetuai bacaan doa,” katanya.

Sekembalinya ke tanah air selepas tamat pengajian, Nik Norzrul menyambung tugasnya sebagai Timbalan Dekan buat seketika sebelum ditugaskan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), satu tugas yang dianggapnya lebih mencabar. Sembilan bulan memegang jawatan itu beliau kemudian dilantik sebagai Dekan HEP yang mana pada waktu itu usianya baru mencecah 33 tahun yang juga antara ahli akademik paling muda pernah dilantik sebagai Dekan di universiti itu, menggantikan Prof Dr Mohd Noor Manutty. Sewaktu bertugas sebagai Dekan HEP, beliau juga adalah ‘Visiting Fullbright Scholar’ di Sekolah Undang-undang Harvard, Amerika Syarikat (AS) selama setahun.

“Saya memegang jawatan itu selama tiga tahun sehingga 1996 sebelum menyertai firma guaman antarabangsa terbesar di dunia ketika itu, Baker & McKenzie, di Singapura untuk mencari pengalaman.” katanya.

Pada 2004 hingga 2005, Nik Norzrul dilantik sebagai Visiting Chevening Fellow bagi Pengajian Islam di Universiti Oxford, London.

“Ketika itu, saya terbabit dalam badan antarabangsa berkaitan pendidikan undang-undang sebagai Naib Presiden Persatuan Pendidikan Perundangan Komanwel,” katanya yang mengakui sebagai anak Melayu pertama memegang jawatan nombor dua dalam badan berkenaan.

Beliau juga aktif dalam beberapa badan antarabangsa lain berikutan kebolehannya dalam bidang undang-undang dan kewangan antaranya, menganggotai Ahli Jawatankuasa (AJK) Penggubal Peraturan dan Undang-undang dan Sekuriti Antarabangsa (ILA) yang berpangkalan di London.

Selain itu beliau juga diberi kepercayaan menganggotai beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini. Antara jawatan yang dipegang ialah Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Institut Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Sdn Bhd, IIUM Holdings Sdn Bhd, Ahli Jawatan Kuasa Pembaharuan Undang-undang Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Di sektor swasta, beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd dan terbaru Ahli Lembaga Pengarah Bank Al Rajhi (Malaysia) Berhad.

Katanya, selain pernah bertugas di firma guaman Bakers & McKenzie di Singapura, beliau juga pernah bertugas sebagai peguam di beberapa syarikat guaman tempatan seperti Messrs Shahrizat, Rashid & Lee dan Messrs Shearn, Delamore & Co.

Menceritakan lagi kerjayanya, Nik Norzrul berkata, sewaktu bekerja dengan Bakers & McKenzie, beliau ditawarkan menyertai firma guaman tempatan, Zaid Ibrahim & Co. Ketika itu Zaid Ibrahim & Co adalah antara firma guaman terbesar di Malaysia dan satu-satunya yang mempunyai kerjasama dengan firma perundangan antarabangsa, Arthur Andersen.

“Saya menyertai Zaid Ibrahim & Co. pada 1998 atas semangat ingin mengukuhkan firma anak Melayu dan ingin membuktikan kita juga mampu menandingi syarikat bukan Melayu dan asing dalam bidang perundangan. Ternyata keputusan saya meninggalkan rangkaian firma guaman terbesar di dunia ketika itu (Baker & Mckenzie) tepat dan berbaloi,” katanya.




Dapat markah '0' subjek Bahasa Malaysia

“SAMPAI bila pun saya tetap ingat sebagai sejarah dalam hidup kerana mendapat ‘kosong’ markah dalam mata pelajaran bahasa Malaysia dalam peperiksaan penggal pertama Tahun Satu. Saya macam tidak percaya dapat kosong markah, kecuali saya tak boleh membaca, menulis dan mengira atau buta huruf. Tetapi, inilah hakikat yang saya alami mungkin kerana tidak faham soalan.

“Walaupun kisah itu berlaku 40 tahun lalu, ia sentiasa dalam ingatan. Mana tidaknya, saya dapat kosong markah,” kata Nik Norzrul menceritakan kenangan itu ketika belajar di Sekolah Rendah Sultan Ismail (1) Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, ketika mendapat keputusan itu, rasa takut untuk memberitahu ayahnya yang juga seorang guru.

Walaupun tidak dimarahi, katanya, ayah berasa malu dan tidak puas hati sehingga berjumpa guru besar, bertanyakan masalah yang dihadapi anaknya itu.

“Ayah kemudian mengambil keputusan mengajar saya di rumah. Ternyata hasilnya berbaloi apabila keputusan peperiksaan penggal kedua dan akhir tahun, daripada markah kosong mendapat markah penuh 100 peratus selain ujian bulanan.

“Saya bukan murid pintar tetapi selepas peristiwa mendapat kosong markah itu, saya sering mendapat nombor satu dari Tahun Satu hingga Tahun Enam kerana ayah mahu melihat saya berjaya,” katanya yang belum puas untuk mencipta kejayaan dalam bidang akademik.

Hasil ketekunan dalam pelajaran, beliau kini mengecapi pelbagai kejayaan dalam kerjaya akademik, perundangan dan tokoh ekonomi dan kewangan Islam. Antara jawatan pernah disandangnya di institusi pengajian tinggi ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama tiga tahun (1993-1996). Kini meneruskan kerjaya dalam bidang guaman dan menjadi Ahli Lembaga Tertinggi firma guaman terbesar di Asia Tenggara, Zaid Ibrahim & Co yang mempunyai cawangan di Jakarta, Singapura dan Bangkok.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap politik, Nik Norzrul mengakui mempunyai hubungan baik dengan rakan yang terbabit dalam arena itu, selain ahli akademik, korporat, kewangan dan perundangan. Beliau juga mengakui bersetuju kejayaannya yang dinikmati sekarang sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana adanya sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, iaitu Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

“Tanpa semua itu, sukar nak dibayangkan bagaimana orang Melayu boleh maju dan berjaya seperti sekarang. Tetapi, masih banyak lagi perlu dilakukan jika mahu melihat orang Melayu terus berjaya dan setanding dengan bangsa lain dan inilah yang sedang diusahakan oleh seluruh pemimpin negara,” katanya.

Ditanya jika beliau sedia terbabit dalam politik, Nik Norzrul tidak menafikan minatnya ke arah itu tetapi menjelaskan jika sekali pun keputusan itu diambil, ia berasaskan hasrat untuk membela rakyat menerusi perjuangan yang besar untuk orang Melayu menerusi kepimpinan Umno.

“Jika ada ruang dan mendapat sokongan rakan, insya-Allah saya sedia melakukannya. Saya juga mahu berbakti kepada negeri kelahiran saya dan rakyat Kelantan,” katanya

Nik Nozrul berkata, beliau berasa bangga apabila melihat antara anak Kelantan yang berjaya seperti Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Eksekutif Twin Tech, Prof Datuk Dr Ismail Salleh dan kedua-dua mereka itu antara contoh anak murid ayahnya ketika menjadi Pengetua di Maktab Sultan Ismail (MSI) pada tahun 60-an.

Biodata:

Nama: Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Lahir: 29 Jun 1960.

Jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC): Pengarah Institut Pelaburan PNB, Pengarah Tabung Haji, Pengarah UIAM Holdings, Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan, Profesor di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM).

Sektor swasta: Pengarah Fraser & Neave Holdings Bhd, Pengarah Perbadanan Pelaburan dan Perbankan Al Rajhi (Malaysia).

Pencapaian antarabangsa: Bekas Peguam firma antarabangsa, Baker & McKenzie, Prof Sekolah Undang-undang Universiti Murdoch, Australia dan Fellow Institut Perkhidmatan Kewangan Australia (FINSIA) pada 2006.

Buku: ‘Legal Aspects of the Malaysian Financail System’ (2001), ‘Law and Practice of Islamic Banking and Finance (2003) dan ‘Law and Practice of Corporate Finance’ (dijangka terbit akhir 2007). Juga menulis dalam ‘Surveys on Legal and Syariah Issues ini Islamic Financial Services’ yang akan diterbitkan IFSB.