Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.
Tuesday, July 17, 2007
Hasil Organik
(Sumber : Berita Harian Online, 17/7/07)
SOM patut digunakan sebagai piawaian untuk elak petani dakwa keluar produk guna kaedah semula jadi
KIRA-KIRA 20 tahun lalu, ramai mengerut dahi apabila mendengar istilah pertanian organik. Hari ini, kaedah pertanian ini bukan saja dikenali malah ada kedai khusus menjual produk pertanian organik.
Sejak diperkenalkan 1987, perkembangan pertanian organik di Malaysia amat perlahan. Pada 2001, hanya ada 131 hektar kawasan pertanian organik. Bagaimanapun keluasan kawasan pertanian organik meningkat mendadak hingga 2,367 hektar tahun lalu.
Pakar pertanian melihat peningkatan permintaan terhadap produk pertanian organik mempunyai kaitan rapat dengan kemajuan negara, terutama dari segi perubahan gaya hidup, kemahuan dan cita rasa penduduk.
Jika dulu, makan sayur dianggap baik untuk kesihatan, tetapi anggapan itu tidak lagi diterima sepenuhnya kerana amalan penggunaan racun perosak secara berleluasa menimbulkan risiko bahaya terhadap kesihatan manusia.
Ini diakui Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Sofian Mohd Salleh, yang berpendapat perkembangan pesat pertanian organik adalah hasil kesedaran pengguna untuk mendapatkan makanan yang bukan saja sedap, tetapi selamat.
Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Aini Zakaria, berkata penggunaan bahan kimia dalam pertanian konvensional menyebabkan tanah berasid dan keupayaan memegang air menurun, selain memusnahkan mikrob organisme yang bermanfaat kepada tanaman.
Katanya, pertanian organik seboleh-bolehnya mahu bergantung kepada alam semula jadi dengan mikrob organisme membekalkan nutrien kepada tanaman.
“Penggunaan bahan kimia, sama ada baja atau racun menyebabkan bahan ini larut dalam tanah dan apabila hujan, dibawa arus air dan menjadi sumber pencemaran.
“Petunjuk pencemaran dapat dilihat apabila projek pertanian dijalankan di atas bukit, kawasan bawah bukit kehijauan menunjukkan nitrat banyak di situ. Nitrat yang memasuki sungai boleh menjejaskan hidupan sungai,” katanya.
Bagaimanapun, pertanian organik menghadapi beberapa cabaran, terutama dari segi ketulenan produk organik yang dijual di pasaran.
Antara kebimbangan utama ialah keghairahan pengguna mendapatkan makanan selamat mendorong pengeluar produk bukan organik atau tidak memenuhi piawaian organik berlumba-lumba melabelkan produk masing-masing dengan nama organik.
Ini juga didorong harga produk organik lebih mahal. Sesetengah jenis sayur-sayuran organik seperti kacang panjang berharga RM12 sekilogram, berbanding RM2.60 dari ladang konvensional.
Ketika ini, sesiapa pun boleh mendakwa mengeluarkan produk organik walaupun kaedah yang digunakan tidak sepenuhnya organik.
Antara kaedah pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan racun kimia kepekatan rendah untuk membunuh serangga kerana lebih menjimatkan, berbanding kaedah organik yang lebih rumit.
Persijilan Skim Organik Malaysia (SOM) yang diperkenalkan Jabatan Pertanian adalah jawapannya kerana mengenakan syarat sebelum sesebuah ladang boleh mengaku mengeluarkan produk organik.
SOM adalah berasaskan Malaysian Standard MS 1529:2001 serta dua standard antarabangsa, iaitu IFOAM (Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa) dan Standard Codex FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Piawaian SOM menggariskan keperluan berkaitan pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan penjualan yang bertujuan memastikan produk organik di pasaran dikeluarkan mengikut kaedah dan standard ditetapkan.
Berdasarkan standard yang ketat, hanya tujuh dari 70 ladang yang mengemukakan permohonan mendapat persijilan SOM sejak diperkenalkan pada 2004.
Bagaimanapun SOM belum diwajibkan di Malaysia menyebabkan ladang yang mempunyai SOM perlu bersaing dengan pengeluar lain yang kaedah pertanian organik tidak diketahui.
Ketika ini, setiap pasar raya yang membeli produk organik dari ladang mempunyai cara masing-masing untuk menentukan ketulenan produk yang dibeli dan mengabaikan SOM yang sepatutnya menjadi standard.
> Ponak Plantation dapat pengiktirafan, sijil SOM
IMPIAN Pengerusi Eksekutif Ponak Plantation Sdn Bhd, Roslan Md Darus, ialah dalam tempoh beberapa tahun lagi, produk organik yang kini hanya dibeli golongan berada mampu dibeli semua peringkat rakyat.
Anak jati Kuala Pilah itu menceburi pertanian organik secara komersial pada 2002 walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, apatah lagi organik yang masih baru di negara ini.
Selepas tujuh tahun, ladang organik di kawasan lembah Kenaboi, Jelebu, mula membuahkan hasil dan dijual di pasar raya hiper seperti Carrefour, Tesco dan Jaya Jusco seluruh negara.
Roslan, 48, berkata dia memilih tanaman organik kerana daripada pemerhatiannya mendapati ramai orang mati kerana makanan yang dimakan setiap hari tidak lagi selamat akibat penggunaan racun dan bahan kimia.
“Di Eropah dan Jepun, pertanian konvensional semakin ditinggalkan dan jika diamalkan, adalah separuh organik,” katanya.
Berbekalkan kesedaran itu dan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Roslan memajukan 28 hektar kawasan hutan yang dibalak dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan kini berusaha meningkatkan pengeluaran di kawasan seluas 40 hektar.
Katanya, kos infrastruktur peringkat awal adalah tinggi dengan kemudahan pengairan saja menelan belanja RM8 juta.
“Perancangan Ponak Plantation ialah memajukan kawasan 161 hektar dengan sayur-sayuran, buah-buahan, penternakan, termasuk ikan air tawar yang menggunakan kaedah organik,” katanya.
Katanya, antara keistimewaan Ladang Ponak ialah sumber air dari kawasan bukit yang tidak tercemar.
Kini Roslan boleh berbangga kerana ladang organik itu adalah antara tujuh ladang organik di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Skim Organik Malaysia (SOM).
Malah kepakaran Ponak Plantation mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memintanya menguruskan tanaman organik di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.
Roslan berkata, sayur organik dimakan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, yang ketika itu menghidap barah payudara.
Sementara itu Pengurus Ponak Plantation, Rosli Mansor, berkata selepas bantuan awal Jabatan Pertanian, syarikat membuat penyelidikan sendiri, terutama membuat kompos dan teknik melawan serangan serangga perosak.
Katanya, walaupun ada panduan membuat kompos, tetapi cabarannya adalah untuk menghasilkannya kerana sukatan yang tidak tepat menyebabkan hasil tidak menepati sasaran. Keadaan yang sama membabitkan membuat racun organik.
“Lokasi ladang berhampiran hutan menyebabkan pelbagai jenis serangga perosak datang. Kami menggunakan pelbagai cara seperti menanam pokok jagung yang bunganya menarik serangga yang membunuh serangga perosak.
“Kelambu juga dipasang dan ini berjaya mengurangkan tanaman dirosakkan serangga,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
►
2008
(1)
- ► 11/23 - 11/30 (1)
-
▼
2007
(50)
- ► 11/25 - 12/02 (1)
- ► 09/02 - 09/09 (5)
- ► 08/26 - 09/02 (2)
- ► 08/19 - 08/26 (3)
- ► 08/12 - 08/19 (6)
- ► 08/05 - 08/12 (2)
- ► 07/29 - 08/05 (3)
- ► 07/22 - 07/29 (3)
- ▼ 07/15 - 07/22 (5)
- ► 07/08 - 07/15 (4)
- ► 06/24 - 07/01 (3)
- ► 06/17 - 06/24 (4)
- ► 05/06 - 05/13 (1)
- ► 02/25 - 03/04 (1)
- ► 02/18 - 02/25 (1)
- ► 01/14 - 01/21 (2)
- ► 01/07 - 01/14 (4)
-
►
2006
(7)
- ► 12/31 - 01/07 (5)
- ► 12/24 - 12/31 (2)
No comments:
Post a Comment