Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Wednesday, July 18, 2007

Laut Dicemari Radioaktif


TIDAK SELAMAT: Gambar menunjukkan kepulan asap hitam
di loji nuklear Kashiwazaki Kariwa selepas gempa bumi
melanda, kelmarin. Pegawai mendedahkan ancaman terbaru iaitu
kebocoran radioaktif di loji berkenaan, semalam.

Loji nuklear terbesar dunia lapor bocor selepas gempa bumi

KASHIWAZAKI: Pegawai di loji nuklear terbesar dunia mengakui lebih banyak kebocoran radiasi berlaku selepas dilanda gempa bumi menyebabkan sembilan orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk dipindahkan.

Pada awalnya, firma Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata, gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter itu tidak menyebabkan sebarang kebocoran sebaliknya hanya alat transformer terbakar dan segera dipadamkan apinya.

Bagaimanapun, TEPCO kemudian membuat pengakuan bahawa 1,200 liter air radioaktif memasuki laut dari lojinya di Kashiwazaki-Kariwa, Niigata.

Ini disusuli pendedahan dalam sidang akhbar oleh seorang pegawainya bahawa pemeriksaan mendapati 100 daripada 22,000 tong sisa nuklear TEPCO jatuh dan penutupnya terbuka.

Syarikat itu juga mengakui, sedikit bahan radioaktif – cobalt-60, iodin dan kromium-51, dilepaskan ke udara.

Seorang pegawai Kementerian Perdagangan berkata, ia terlalu kecil untuk merosakkan alam sekitar.

Bagaimanapun, pendedahan TEPCP menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan nuklear di negara itu yang banyak bergantung kepada kuasa atom serta mengingatkan semula kepada kejadian menyembunyikan fakta sebenar.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa gempa bumi yang memenuhi pusat pemindahan, bimbang banjir lumpur dan gegaran susulan.

Gempa bumi yang berlaku pagi kelmarin di luar pantai Niigata merobohkan 300 bangunan dan menjejaskan sistem pengangkutan.

Mangsa gempa memenuhi kawasan gimnasium sekolah dan pusat komuniti sentiasa mengawasi keadaan awan kerana bimbang berlaku hujan lebat dan menyebabkan tanah runtuh.

Ribut dan banjir dijangka berlaku di kawasan gempa meningkatkan lagi kemungkinan gegaran kecil dan tanah runtuh sehingga boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan, kata pegawai.

Hujan melebihi enam sentimeter dijangka berlaku awal pagi ini di Kashiwazaki di kawasan selatan pusat gegaran, kata pihak berkuasa tempatan.

“Kerosakan lebih daripada apa yang kita bayangkan,” kata Datuk Bandar Kashiwazaki, Hirsohi Aida ketika memeriksa kerosakan di bandar terbabit. – Reuters/AP

No comments: