‘Isteri Razak pukul saya’
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali
Bapa Altantuya dakwa diganggu Mazlinda sejak hari pertama perbicaraan
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu semalam kecoh apabila bapanya, Dr Shaariibu Setev membuat aduan kepada mahkamah mendakwa isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan, menendang dan memukulnya.
Dr Setev Shaariibuu (gambar), 55, mengadu kepada Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin kononnya Mazlinda sentiasa mengganggunya, malah beberapa kali mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya di luar mahkamah ketika prosiding ditangguhkan untuk rehat.
“Sejak perbicaraan bermula (Isnin lalu), ke mana saja saya pergi, dia akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya dan pagi tadi, dia cakap tidak mahu lihat saya lagi. Dia bercakap dalam bahasa yang saya tidak faham sambil gerak badannya menunjukkan perlakuan ganas. Setiap kali dia bercakap, saya dengar perkataan Mongolia atau Mongol disebut.
“Pagi tadi dia menumbuk perut saya dan menendang kaki ketika saya masuk ke dalam bilik saksi. Kejadian itu turut disaksikan anggota polis. Saya tidak boleh menerima perbuatannya. Saya seorang lelaki dan tidak pernah dan tidak akan pernah melakukan apa-apa kepadanya,” kata Shaariibuu sejurus perbicaraan bermula selepas berehat selama 30 minit pada sesi pagi.
Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah kemudian memberitahu mahkamah, beliau baru dimaklumkan mengenai hal itu dan mencadangkan supaya keluarga Abdul Razak dan keluarga Altantuya (yang ditempatkan bersama dalam bilik saksi) diasingkan.
“Saya akan berbincang dengan pegawai mahkamah, kita ada ramai anggota polis berbadan besar yang boleh menjaga keselamatan mereka di luar mahkamah,” katanya.
Peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong pula berkata beliau akan menasihati Mazlinda dan Shaariibuu boleh mengambil tindakan (terhadap Mazlinda) jika beliau bercadang berbuat demikian.
Menjawab soalan Mohd Zaki apakah tindakan itu, Wong menjawab, “Aduan kepada polis”.
Wong bagaimanapun berkata, perkara itu berlaku di luar mahkamah dan undang-undang menjelaskan perlu ada prosiding berasingan.
“Kalau penghinaan berlaku dalam mahkamah, mahkamah boleh mengambil tindakan tetapi masalahnya ia di luar mahkamah. Mahkamah ini bukan forum sesuai untuk membincangkan perkara ini kerana ia berlaku di luar tetapi saksi berhak mengambil tindakan,” kata Wong.
Mohd Zaki kemudian mengarahkan Tun Abdul Majid untuk memastikan kejadian tidak berulang dan pensyarah psikologi Universiti Kebangsaan Mongolia itu mengucap terima kasih.
Mazlinda ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding ditangguhkan tengah hari semalam, berkata: “Mana mungkin saya melakukan semua itu. Ia hanya satu pembohongan”.
Perbicaraan semalam juga menyaksikan perang mulut membabitkan peguam pemerhati keluarga Altantuya, Karpal Singh dan Tun Abdul Majid. Ia bermula apabila Karpal memohon untuk bertanya soalan tambahan kepada Shaariibuu, tetapi dibantah Wong kerana beliau hanya peguam pemerhati.
Tun Abdul Majid kemudian bangun dan berkata Karpal sepatutnya mengemukakan soalan itu melalui beliau dan bukannya membuat permohonan terus kepada mahkamah.
Tun Abdul Majid: Jika Karpal ada soalan, beliau boleh tanya melalui saya, tadi saya sudah tanya tetapi beliau (Karpal) tidak pun berbuat demikian.
Karpal: Saya tidak akan tanya soalan melalui pihak pendakwa tetapi hanya melalui hakim kerana beliau (Tun Abdul Majid) tidak mesra kepada saya dan terlalu angkuh.
Tun Abdul Majid: Saya tidak berlagak (sambil bangun dan memandang Karpal), tarik balik kata-kata kamu itu.
Karpal: Tiada apa-apa yang perlu saya tarik. Kamu yang berlagak sejak hari pertama lagi. Diam dan duduk, Tun Abdul Majid.
Tun Abdul Majid: Kamu tiada hak menyuruh saya duduk, hanya mahkamah yang ada kuasa.
Mohd Zaki: Apa yang berlaku ini?. Encik Karpal, kamu tidak boleh mengarahkannya duduk. Tun Majid sudah duduk, sekarang saya benarkan kamu tanya soalan terakhir.
Mohd Zaki: Lain kali kamu tidak boleh bertikam lidah dengan pendakwa dan peguam.
Karpal: Saya tidak akan berbuat demikian kecuali jika perlu.
Karpal kemudian mengajukan soalan kepada Shaariibu sama ada beliau tahu Altantuya pernah memeluk agama Islam, yang dijawab, ‘tiada komen” disusuli gelak ketawa orang ramai dalam mahkamah.
Apabila hakim menegur jawapannya, Shaariibuu menjelaskan: “Tidak tahu tapi saya beragama Buddha”.
Terdahulu, ketika prosiding, Shaariibuu tidak dapat menahan perasaan dan menangis apabila ditunjukkan potret anaknya.
Saksi kedua pendakwa itu mulanya tenang ketika memberikan keterangan tetapi mula menangis sambil mengesat air matanya beberapa kali selepas jurubahasa Mongolia, Enkhjargal Tsetgee, menunjukkan gambar Altantuya kepadanya bagi pengecaman.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup menunjukkan gambar Altantuya kepada Shaariibuu dan memintanya mengenal pasti serta memberitahu mahkamah nama wanita dalam gambar itu.
Shaariibuu menjawab, di Mongolia biasanya nama orang yang sudah meninggal dunia tidak disebut, tetapi beliau akan berbuat demikian jika pendakwa raya benar-benar perlukannya.
Manoj kemudian meminta maaf kepada saksi itu dan memintanya menyebut nama wanita dalam gambar yang dirujuk bagi tujuan rekod mahkamah.
“Wanita ini ialah Altantuya,” katanya dalam bahasa Mongol sebelum tunduk dan membuka cermin mata serta mengesat air matanya beberapa kali. Perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin.
INFO
Pertuduhan
Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 46, didakwa bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 31 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membunuh Altantuya di pejabatnya Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Okober tahun lalu.
Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.
Saturday, June 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
►
2008
(1)
- ► 11/23 - 11/30 (1)
-
▼
2007
(50)
- ► 11/25 - 12/02 (1)
- ► 09/02 - 09/09 (5)
- ► 08/26 - 09/02 (2)
- ► 08/19 - 08/26 (3)
- ► 08/12 - 08/19 (6)
- ► 08/05 - 08/12 (2)
- ► 07/29 - 08/05 (3)
- ► 07/22 - 07/29 (3)
- ► 07/15 - 07/22 (5)
- ► 07/08 - 07/15 (4)
- ► 06/24 - 07/01 (3)
- ▼ 06/17 - 06/24 (4)
- ► 05/06 - 05/13 (1)
- ► 02/25 - 03/04 (1)
- ► 02/18 - 02/25 (1)
- ► 01/14 - 01/21 (2)
- ► 01/07 - 01/14 (4)
-
►
2006
(7)
- ► 12/31 - 01/07 (5)
- ► 12/24 - 12/31 (2)
No comments:
Post a Comment