Get Your Informations Here About Ebooks, Marketings, Build Blog/Website, Etc. These informations will refresh from time to time. So, please updated yourself with much informations right here.

Saturday, September 1, 2007

Malaysia model negara dunia ketiga



Kehadiran pemimpin asing bukti negara diiktiraf: Syed Hamid

KUALA LUMPUR: Kehadiran ketua negara dan wakil pemimpin kerajaan asing pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 semalam, membuktikan fungsi dan suara Malaysia semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua ketua negara Asean kecuali Myanmar, wakil pemimpin kerajaan rantau Asia Pasifik hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan ke-50 di Dataran Merdeka, semalam.


“Kerajaan menghargai kehadiran mereka. Ia membuktikan mereka mengiktiraf fungsi Malaysia pada peringkat antarabangsa selain model contoh bagi negara dunia ketiga,” katanya selepas perbarisan itu.

Pemimpin negara Asean yang hadir ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Naib Presiden Indonesia, Drs Muhammad Jusuf Kalla; Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont; Lee Hsien Loong (Singapura); Hun Sen (Kemboja); Bovasone Bouphavanh (Laos) dan Nguyen Tan Dzung (Vietnam).

Hadir sama Duke of York, Putera Andrew yang mewakili Ratu Elizabeth II; Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn; wakil Presiden Amerika Syarikat, Clay Sell dan wakil Perdana Menteri Australia oleh Gabenor Jeneralnya, Michael Jeffery.


Wakil Presiden Perancis, Brice Hortefeux; wakil Perdana Menteri Belanda, Prof Dr Ruud Lubbers; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri New Zealand, Rick Barker; wakil Presiden Pakistan, Leftenan Jeneral Jayed Asraf dan wakil Presiden Sri Lanka, Rohitha Bogollagama.

Sementara itu, beberapa diplomat asing yang beribu pejabat di ibu negara ketika ditemui kagum dengan sambutan kemerdekaan kali ini.

Timbalan Duta Qatar, Abdul Rahman Mohamad, berkata acara kemerdekaan tahun ini menarik dan persembahannya melambangkan perpaduan kukuh masyarakat pelbagai kaum.

Duta Timor Leste, Juvencio De Jesus Martins, berkata pertunjukan warna warni dan persembahan kebudayaan memberi inspirasi dan mesej kepada negaranya bahawa perpaduan kaum penting untuk mencapai kejayaan.

Duta Oman, Aflah Altaei, berkata penyertaan semua kaum membuktikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat selepas 50 tahun merdeka.

Penolong Pesuruhjaya Tinggi Fiji, Vani Samuway, berkata acara sambutan kemerdekaan dijayakan menggambarkan kejayaan Malaysia sejak merdeka.

Duta Senegal, Abdel Kader Pierre Fall, berkata kemeriahan memberi gambaran jelas keharmonian penduduk yang begitu bangga dengan kejayaan yang dinikmati 50 tahun selepas merdeka.

Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Richard Leete, berharap Malaysia terus maju dan mengekalkan keharmonian serta keamanan sekarang.

Pemenang Hadiah Nobel 2001 dari Universiti Columbia, Joseph E Stiglitz, berkata hubungan kaum di Malaysia unik serta kaya dengan pelbagai budaya dan rakyat asing pasti kagum dengan semangat perpaduan itu.

No comments: